Sunday, December 9, 2012

JOHOR BENTANG BAJET LEBIHAN 2013


NUSAJAYA - Kerajaan Johor membentangkan Belanjawan 2013 dengan lebihan RM4.4 juta apabila hasil negeri dianggar berjumlah RM908.66 juta dan perbelanjaan mengurus pula sebanyak RM904.26 juta. Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata hasil cukai tahun depan dianggar bertambah sebanyak RM24.93 juta, menjadikan hasil cukai keseluruhan berjumlah RM354.61 juta.

"Kutipan dari hasil bukan cukai pula dianggar meningkat sebanyak RM59.02 juta menjadikannya berjumlah RM358.94 juta manakala terimaan bukan hasil dianggar sebanyak RM196.29 juta," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2013 pada persidangan dewan undangan negeri, di sini.

Abdul Ghani berkata perbelanjaan mengurus sebanyak RM904.26 juta itu meliputi perbelanjaan emolumen dengan anggaran RM380.57 juta, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM260.44 juta, perolehan aset (RM14.59 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM231.22 juta) serta lain-lain perbelanjaan berjumlah RM17.44 juta.

Beliau berkata peruntukan pembangunan untuk tahun depan adalah sebanyak RM297.32 juta dengan RM62.75 juta daripadanya diperuntukkan kepada Pejabat Menteri Besar, RM83.46 juta bagi Jabatan Kerja Raya dan RM41.83 juta bagi pertanian dan pembangunan luar bandar.

Katanya sebanyak RM31.27 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Negeri Johor, Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM12.46 juta), pejabat-pejabat daerah dan tanah (RM52.50 juta) manakala projek-projek pembangunan perhutanan dan pelancongan sebanyak RM10.55 juta.

Tabung Amanah Warisan Johor pula katanya terus melaksanakan aktiviti-aktiviti pelaburan untuk menjana pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Daripada jumlah modal sebanyak RM390.40 juta, nilai kumpulan wang Tabung Amanah Warisan Negeri Johor sehingga akhir Oktober lepas terus mencatatkan peningkatan kepada RM413.59 juta berbanding RM348.75 juta, akhir tahun lepas.

"Prestasi tabung sehingga akhir Oktober lepas telah berjaya merekodkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM64.84 juta berbanding RM29.24 juta dalam tahun 2011," katanya.

Abdul Ghani berkata Bajet Johor 2013 yang bertemakan 'Mensejahterakan Rakyat' menggariskan tiga strategi utama iaitu menggalakkan pelaburan dan pemerkasaan modal insan; memperteguh pengurusan fiskal dan perkhidmatan awam; serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, tahun depan, kerajaan negeri akan memberi penumpuan lebih khusus untuk menggalakkan pelaburan domestik memandangkan peratusan pelaburan tempatan terkumpul di Iskandar Malaysia telah meningkat kepada 63 peratus sehingga September lepas.

Katanya, bagi menjadikan Johor sebagai negeri pengeluar makanan yang utama di negara ini, kerajaan negeri akan membangunkan kawasan seluas 3,600 hektar di Mersing sebagai hab jaminan makanan untuk tanaman kontan dan ternakan ruminan selain pembangunan pengeluaran makanan di Kluang dan Kota Tinggi, ketika ini.

Dijangkakan hampir 5,500 unit rumah akan dibina tahun depan di bawah program Perumahan Rakyat (PPR) dengan 5,074 unit daripadanya untuk dijual atau disewa, katanya.

"Belanjawan 2013 akan mengambil kira semua potensi yang membawa Johor ke satu tahap lebih tinggi demi melimpahkan kemakmuran kepada rakyat. Kerajaan negeri yakin rakyat Johor sudah pun mula merasai pengalaman yang berbeza kesan kerancakan kegiatan pembangunan dan ekonomi yang sedang pesat sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...