Nusajaya Mercu Tanda Johor |
Sebelum ini Nusajaya dengan keluasan 170 kilometer persegi hanyalah kawasan hutan dan ladang kelapa sawit dan getah. Namun hampir sedekad kebelakangan ini, kawasan yang terletak di bawah
Parlimen Gelang Patah, Johor itu berubah wajah secara drastik hasil
perancangan bernas kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila memindahkan
pusat pentadbiran negeri ke kawasan berkenaan. Perubahan Nusajaya yang terletak di zon utama B Iskandar Malaysia itu
sememangnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, malah penulis
yang berasal dari bandar raya Johor Bahru sentiasa kagum melihat
perubahan kawasan itu.
Pertama kali menjejakkan kaki ke Nusajaya setahun lalu, mungkin tidak
banyak yang mahu diceritakan. Namun, sejak dari hari itu, Nusajaya yang
diibarat seperti 'permata' Iskandar Malaysia terus menunjukkan
kilauannya. Masakan tidak, pembangunan di sini nyata hebat termasuk dengan
kawasan perumahan, pusat pembelajaran, perubatan yang bertaraf
antarabangsa, pelabuhan, hotel lima bintang dan lokasi tumpuan
pelancong. Nusajaya dengan kemudahan jaringan jalan raya yang baik turut
menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar;
pelabuhan antarabangsa, Port Tanjung Pelepas (PTP) dan Kelompok Logistik
dan Industri Wilayah Selatan (SILC).
Selain itu, di sini juga antara lain terletaknya Legoland Malaysia,
taman tema pertama seumpamanya di Asia; studio bertaraf dunia, Pinewood
Iskandar Malaysia Studios; Universiti Newcastle, Malborough College
Malaysia dan Hospital Columbia Asia. Hakikatnya, tiada siapa menyangka Nusajaya sebagai kawasan baru mampu
berubah dengan begitu pesat dalam masa yang singkat dan ia hasil usaha
kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menjadikan ia sebagai bandar
raya metropolis yang kondusif untuk didiami dan dikenali.
Bermula dengan idea bernas itu, Nusajaya yang mempunyai kemudahan
seperti Lebuh raya Linkedua terus 'dilimpahi' pelbagai jenis pembangunan
termasuk pelaburan dari dalam dan luar negara menerusi Iskandar
Malaysia pada masa ini dan akan datang. Seorang pegawai bank yang menetap di Nusa Idaman, Muzaffar Musa,
35, mengakui mempunyai kenangan manis kerana mereka sekeluarga antara
penghuni terawal menetap di situ, sekali gus mengalami sendiri perubahan
di kawasan tersebut.
Biarpun beberapa bulan mereka tinggal 'bersendirian' di situ pada
2006, ia langsung tidak mendatangkan perasaan takut kerana yakin dengan
kawalan keselamatan di situ.
"Dalam keadaan sekarang, 100 peratus rumah di kawasan ini sudah
berpenghuni. Rata-rata masyarakat tempatan yang bekerja di sekitar
Nusajaya dan warga asing terutamanya rakyat Singapura juga memilih
menetap di sini.
"Ketika beli rumah, harganya di kategori sebagai mampu milik untuk
kami pasangan baru berkahwin dan ternyata pelaburan pembelian aset di
sini tidak mengecewakan kerana harganya meningkat setiap tahun," katanya
yang kagum dengan kemajuan Nusajaya dan berharap ia bukan hanya menjadi
tempat tinggal yang paling kondusif malah sebagai destinasi pilihan
pengunjung tempatan dan asing.
Mohd. Shah Mohd. Din, 55, pula yang merupakan penduduk asal dan
menetap di Gelang Patah berbangga dengan pembangunan dan kemajuan yang
membawa transformasi ke Nusajaya. Menurutnya, masih bermain-main lagi di dalam ingatan bagaimana
kawasan berkenaan yang dahulu hanya dipenuhi hutan dan paya bakau
bertukar wajah menjadi sebuah bandar 'idaman' bagi penduduk tempatan dan
warga asing. Katanya, jika dahulu kawasan Nusajaya tidak 'semeriah' seperti
sekarang yang kini mempunyai pelbagai kemudahan antaranya pusat
beli-belah Jusco di Bukit Indah, Tesco, Giant dan Legoland.
"Saya gembira dengan usaha yang dilakukan kerajaan kerana 'tempias'
pembangunan pesat di Nusajaya turut dirasai penduduk sekitar. Saya
bersyukur kerana kerajaan BN berjaya mengubah wajah kawasan ini,"
katanya.
Seorang kakitangan awam, Annaz Md. Nor, 27, yang menetap di
Taman Desa Skudai yang juga terletak di bawah Parlimen Gelang Patah
berkata, biarpun baru menetap di situ tiga tahun lalu, dia sering
berkunjung ke Nusajaya.
"Tempat ini sememangnya cepat membangun, akses jalan raya juga baik
menjadikan perjalanan ke Nusajaya lebih cepat. Macam-macam ada di
Nusajaya, malah pada masa akan datang banyak lagi projek yang telah
dirancang akan mula dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian
berkata, pada mulanya idea untuk membangunkan Nusajaya tidak mendapat
sambutan baik daripada penduduk setempat, namun selepas diberi
penerangan ia mengikut seperti dirancang. Beliau turut mengingatkan penduduk dengan pepatah Melayu
'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian' bahawa semua yang
dilakukan oleh kerajaan di Nusajaya adalah untuk perancangan jangka
panjang demi kepentingan rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment