Monday, June 11, 2012

USAH POLITIK ISU RAPID, ELAK RAKYAT JADI MANGSA


Pihak pembangkang diharap tidak mempolitikkan isu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) serta isu berkaitan pembangunan minyak dan gas di Pengerang. Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, jika isu yang ada dipolitikkan tempiasnya akan terkesan kepada penduduk dan orang tempatan sendiri.


“Budaya ini tidak boleh dibawa ke Pengerang sebaliknya proses terbaik adalah menyelesaikannya secara berhemah dengan membawa agensi terlibat dan berbincang secara berperingkat jika tidak, bagi saya penduduk Pengerang yang akan jadi mangsa.

“Dalam perkara ini, saya juga mahu menegur pembangkang agar ketepikan parti politik kerana jika benar mereka mahu selesaikan masalah penduduk ia memerlukan keikhlasan sebagai pendekatan terbaik selain jangan terlampau emosi dalam hal ini kerana selagi Undang-undang Kanun Tanah wujud, Kerajaan Negeri berhak mengambil tanah penduduk namun dengan syarat mesti diberi pampasan.

Jika penduduk tidak berpuas hati, mereka boleh merayu dan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina kawasan Pengerang. Menurutnya, tindakan pembangkang itu didakwa sengaja mahu menggagalkan pembangunan tersebut seperti mana projek Lynas.

“Kebanyakan yang menolak pembangunan ini adalah orang luar. Apa yang berlaku mereka sengaja mahu mengambil kesempatan sempena pilihan raya yang makin hampir untuk menunjukkan kerajaan BN zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata, melalui sesi dialog tersebut, kebanyakan penduduk memaklumkan tentang perasaan mereka yang mahukan keputusan lebih cepat daripada pihak berkuasa mengenai isu yang timbul antaranya masalah pemindahan kubur, pampasan tanah dan alam sekitar.

“Penduduk banyak mendengar khabar angin yang tidak jelas dan pada masa sama banyak pihak yang suka mencucuk. Namun begitu, penduduk di sini turut menekankan bahawa mereka adalah penyokong BN sejak dari dulu lagi dan apa yang mereka mahu adalah lebih banyak komunikasi, maklumat, selain dibawa berbincang dalam semua aspek.

“Mereka ini hanya mahu lebih penjelasan sahaja dan kita harap kerajaan negeri dan pusat dapat memberi maklum balas. Malah, saya di peringkat Parlimen juga akan bawa isu ini ke tengah untuk diselesaikan secara berperingkat dengan pihak berkuasa yang terlibat.

Terdahulu, lima NGO terdiri daripada masyarakat India Pengerang menyerahkan memorandum kepada Azalina sebagai tanda menyokong projek Rapid Pengerang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...