SATU ketika dahulu, ayah dan ibu mereka
menguruskan ladang untuk meningkatkan taraf hidup yang susah sehinggakan
untuk membeli makanan keluarga sudah cukup sukar. Masa berlalu, dan selepas 50 tahun muncul zaman kegemilangan yang
dilimpahi dengan segala macam kemewahan, bantuan, pendidikan terbaik dan
pendapatan tinggi untuk memastikan waris-waris peneroka mendapat yang
terbaik.
Felda dahulu dan kini tidak sama lagi! Selepas generasi pertama, tiba
giliran generasi baharu memikul tanggungjawab meneruskan legasi ibu
bapa mereka seperti mana Datuk Seri Najib Tun Razak melindungi Felda
warisan ayahnya.
Tanpa penyatuan dalam keadaan yang aman sejahtera, warga Felda
khususnya generasi muda mungkin mudah terpengaruh dengan pemikiran pihak
luar yang tidak senang dengan kemewahan yang dinikmati kini.
Tanpa peneroka, tanpa pengurusan Felda, maka tidak wujud Felda
seperti hari ini. Dahulu ada yang persenda singkatan LKTP itu 'langkah
kerajaan tipu peneroka' tapi kini terbukti semua itu tidak benar dan
peneroka bersama waris-waris mereka hidup lebih baik berbanding orang di
luar.
Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi Felda, Anuar Malek
menegaskan, Felda juga maju disebabkan kestabilan politik di bawah
kerajaan sedia ada dan besar implikasinya jika usaha pihak yang cuba
memecah-belah penduduk tanah rancangan itu berjaya.
Menurutnya, banyak cubaan untuk menggagalkan usaha-usaha murni
kerajaan di tanah rancangan dengan merosakkan minda dan mengelirukan
fikiran anak-anak muda Felda.
"Tapi lihatlah sendiri, hasil untung penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings Bhd (FGVH), atas idea Perdana Menteri sendiri maka
kita agihkan hasilnya kepada warga peneroka. Fasa 1 untuk peneroka asal,
Fasa 2 untuk isteri mereka dan Fasa 3 untuk anak-anak peneroka asal,"
katanya.
Tambahnya, satu perhimpunan untuk mengumpulkan generasi muda Felda
dan disertakan dengan acara sukan yang diminati belia juga diatur untuk
penyampaian Fasa 3 Durian Runtuh itu.
Dikenali sebagai Himpunan Generasi Baharu Felda, program itu akan
diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 9 hingga 11
November 2012.
Jelas Anuar, perhimpunan itu juga bagi menghimpunkan anak muda di
dalam dan luar tanah rancangan, khususnya mereka yang telah berjaya
dalam sektor awam dan swasta bagi membantu pembangunan tempat asal
mereka dan meneruskan kesinambungan Felda.
"Himpunan ini juga untuk kita menunjukkan dan buktikan sokongan generasi baharu Felda kepada kepimpinan Perdana Menteri.
"Langkah ini juga diharap dapat melahirkan dan menerap rasa kasih
generasi baharu kepada Felda secara berterusan agar tahu besyukur atas
apa yang dapat dinikmati hari ini," ujarnya.
Mengikut aturcara perhimpunan tersebut, program itu akan bermula
dengan pendaftaran peserta pada petang 9 November dan diikuti dengan
taklimat dan forum khas pada sebelah malamnya.
"Forum untuk generasi baharu itu akan dikendalikan Gabungan Pemikiran
Profesional Felda (Gaprof) yang dianggotai anak-anak Felda yang sudah
berjaya bagi membincangkan peluang-peluang, perumahan dan pekerjaan
untuk generasi baharu.
"Kita akan bincangkan antaranya isu model rumah yang akan dibina
untuk generasi muda di kebanyakan tanah rancangan yang mempunyai tanah
sesuai," jelasnya.
Menurut beliau, Perdana Menteri mahukan 20,000 rumah dibina dalam
tempoh lima tahun akan datang ataupun 4,000 rumah setahun untuk generasi
muda tetapi jumlahnya akan ditambah jika permintaan dan keperluan
meningkat.
Tambahnya, rumah pasang siap yang lebih murah dan mengikut konsep
pilihan pembeli juga diberi keutamaan kerana kerajaan sentiasa prihatin
dengan keperluan warga Felda.
"Kita anggarkan 3,000 ahli generasi baharu dan ahli Majlis Belia
Felda Malaysia (MBFM) dari tanah rancangan serta wakil institusi
pengajian tinggi awam hadir pada hari pertama," katanya.
Hari kedua perhimpunan itu pula akan bermula dengan sekitar 9,000
generasi baharu Felda bertolak dari tanah rancangan masing-masing pada
malam 9 November dan tiba di UiTM pada awal pagi 10 November 2012.
Menurut Anuar, semua tanah rancangan akan menawarkan kepada 20 hingga
40 generasi muda untuk turut serta tetapi jika ada permintaan tambahan,
pihaknya akan menyediakan pengangkutan tambahan.
"Kita akan bawa nisbah 80 peratus generasi baharu dan 20 peratus
generasi pertama kerana kita mahu ibu bapa ada bersama menyaksikan
anak-anak menerima Durian Runtuh Fasa 3.
"Perdana Menteri akan merasmikan perhimpunan ini pada pagi hari kedua
serta menyampaikan sumbangan untuk Fasa 3 kepada dua wakil dari setiap
wilayah, seorang generasi muda dan seorang pengerusi MBFM wilayah
tersebut," jelasnya.
Acara hari kedua perhimpunan tersebut kemudian akan diteruskan dengan
acara sukan dan pertandingan acara lasak seperti futsal, bola jaring, explorace dan paintball sehingga peringkat separuh akhir.
Pada sebelah malam pula, konsert HIGEBA (Himpunan Generasi Baharu)
akan diadakan dengan artis-artis warga Felda seperti Mawi, Jalil Hamid
dan susunan Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak Felda (ISKAF), serta Rahmat
Mega, Brotherz dan Nowseeheart di samping penyampaian cenderahati dan
cabutan bertuah.
Hari ketiga dan terakhir pada 11 November pula akan meneruskan
peringkat akhir sukan lasak sebelum majlis penutup dan penyampaian
hadiah oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Dengan kehadiran peserta sukan lasak, jemputan peserta Permuafakatan
Siswa Siswi Felda (Persada) UiTM, generasi baharu di Lembah Klang,
Pengurusan Felda dan himpunan generasi baharu dari semua tanah
rancangan, perhimpuan itu dijangka dapat mengumpulkan lebih 12,000 orang
peserta.
"Kita juga mahu setiap anak Felda yang berjaya dalam sektor awam dan
swasta kembali dan bantu tingkatkan pembangunan di tempat asal mereka
kerana kejayaan mereka bermula di tanah rancangan. Maka berilah nasihat,
sokongan dan buah fikiran kembali kepada penduduk tanah rancangan,
tidak boleh bergantung kepada pengurusan Felda sahaja," tegasnya.
Namun, beliau mengakui setiap usaha murni Felda pasti ada bantahan
tapi bukan daripada anak-anak Felda yang berwawasan tapi pihak luar yang
mempunyai agenda peribadi dan tidak mahu memberi kerjasama walau apapun
program yang dijalankan termasuk yang baik dan murni.
"Nawaitu mereka ini adalah untuk pecahkan undi dalam Felda menjelang
pilihan raya. Walaupun ada anak Felda yang terpesong sedikit, kita tetap
harap mereka dapat sertai dan jayakan perhimpunan kita. Anak muda dan
generasi baharu Felda perlu buang pemikiran terpesong dan negatif kerana
sedikit sebanyak, mereka perlu ada perasaan mahu membantu Felda terus
berjaya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment