Friday, November 9, 2012

KESINAMBUNGAN GENERASI FELDA


SATU ketika dahulu, ayah dan ibu mereka menguruskan ladang untuk meningkatkan taraf hidup yang susah sehinggakan untuk membeli makanan keluarga sudah cukup sukar. Masa berlalu, dan selepas 50 tahun muncul zaman kegemilangan yang dilimpahi dengan segala macam kemewahan, bantuan, pendidikan terbaik dan pendapatan tinggi untuk memastikan waris-waris peneroka mendapat yang terbaik.

Felda dahulu dan kini tidak sama lagi! Selepas generasi pertama, tiba giliran generasi baharu memikul tanggungjawab meneruskan legasi ibu bapa mereka seperti mana Datuk Seri Najib Tun Razak melindungi Felda warisan ayahnya.

Tanpa penyatuan dalam keadaan yang aman sejahtera, warga Felda khususnya generasi muda mungkin mudah terpengaruh dengan pemikiran pihak luar yang tidak senang dengan kemewahan yang dinikmati kini.

Tanpa peneroka, tanpa pengurusan Felda, maka tidak wujud Felda seperti hari ini. Dahulu ada yang persenda singkatan LKTP itu 'langkah kerajaan tipu peneroka' tapi kini terbukti semua itu tidak benar dan peneroka bersama waris-waris mereka hidup lebih baik berbanding orang di luar.

Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi Felda, Anuar Malek menegaskan, Felda juga maju disebabkan kestabilan politik di bawah kerajaan sedia ada dan besar implikasinya jika usaha pihak yang cuba memecah-belah penduduk tanah rancangan itu berjaya.

Menurutnya, banyak cubaan untuk menggagalkan usaha-usaha murni kerajaan di tanah rancangan dengan merosakkan minda dan mengelirukan fikiran anak-anak muda Felda.

"Tapi lihatlah sendiri, hasil untung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH), atas idea Perdana Menteri sendiri maka kita agihkan hasilnya kepada warga peneroka. Fasa 1 untuk peneroka asal, Fasa 2 untuk isteri mereka dan Fasa 3 untuk anak-anak peneroka asal," katanya.

Tambahnya, satu perhimpunan untuk mengumpulkan generasi muda Felda dan disertakan dengan acara sukan yang diminati belia juga diatur untuk penyampaian Fasa 3 Durian Runtuh itu.
Dikenali sebagai Himpunan Generasi Baharu Felda, program itu akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 9 hingga 11 November 2012.

Jelas Anuar, perhimpunan itu juga bagi menghimpunkan anak muda di dalam dan luar tanah rancangan, khususnya mereka yang telah berjaya dalam sektor awam dan swasta bagi membantu pembangunan tempat asal mereka dan meneruskan kesinambungan Felda.

"Himpunan ini juga untuk kita menunjukkan dan buktikan sokongan generasi baharu Felda kepada kepimpinan Perdana Menteri.

"Langkah ini juga diharap dapat melahirkan dan menerap rasa kasih generasi baharu kepada Felda secara berterusan agar tahu besyukur atas apa yang dapat dinikmati hari ini," ujarnya.

Mengikut aturcara perhimpunan tersebut, program itu akan bermula dengan pendaftaran peserta pada petang 9 November dan diikuti dengan taklimat dan forum khas pada sebelah malamnya.

"Forum untuk generasi baharu itu akan dikendalikan Gabungan Pemikiran Profesional Felda (Gaprof) yang dianggotai anak-anak Felda yang sudah berjaya bagi membincangkan peluang-peluang, perumahan dan pekerjaan untuk generasi baharu.

"Kita akan bincangkan antaranya isu model rumah yang akan dibina untuk generasi muda di kebanyakan tanah rancangan yang mempunyai tanah sesuai," jelasnya.

Menurut beliau, Perdana Menteri mahukan 20,000 rumah dibina dalam tempoh lima tahun akan datang ataupun 4,000 rumah setahun untuk generasi muda tetapi jumlahnya akan ditambah jika permintaan dan keperluan meningkat.

Tambahnya, rumah pasang siap yang lebih murah dan mengikut konsep pilihan pembeli juga diberi keutamaan kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan warga Felda.

"Kita anggarkan 3,000 ahli generasi baharu dan ahli Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dari tanah rancangan serta wakil institusi pengajian tinggi awam hadir pada hari pertama," katanya.

Hari kedua perhimpunan itu pula akan bermula dengan sekitar 9,000 generasi baharu Felda bertolak dari tanah rancangan masing-masing pada malam 9 November dan tiba di UiTM pada awal pagi 10 November 2012.

Menurut Anuar, semua tanah rancangan akan menawarkan kepada 20 hingga 40 generasi muda untuk turut serta tetapi jika ada permintaan tambahan, pihaknya akan menyediakan pengangkutan tambahan.

"Kita akan bawa nisbah 80 peratus generasi baharu dan 20 peratus generasi pertama kerana kita mahu ibu bapa ada bersama menyaksikan anak-anak menerima Durian Runtuh Fasa 3.

"Perdana Menteri akan merasmikan perhimpunan ini pada pagi hari kedua serta menyampaikan sumbangan untuk Fasa 3 kepada dua wakil dari setiap wilayah, seorang generasi muda dan seorang pengerusi MBFM wilayah tersebut," jelasnya.

Acara hari kedua perhimpunan tersebut kemudian akan diteruskan dengan acara sukan dan pertandingan acara lasak seperti futsal, bola jaring, explorace dan paintball sehingga peringkat separuh akhir.

Pada sebelah malam pula, konsert HIGEBA (Himpunan Generasi Baharu) akan diadakan dengan artis-artis warga Felda seperti Mawi, Jalil Hamid dan susunan Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak Felda (ISKAF), serta Rahmat Mega, Brotherz dan Nowseeheart di samping penyampaian cenderahati dan cabutan bertuah.

Hari ketiga dan terakhir pada 11 November pula akan meneruskan peringkat akhir sukan lasak sebelum majlis penutup dan penyampaian hadiah oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Dengan kehadiran peserta sukan lasak, jemputan peserta Permuafakatan Siswa Siswi Felda (Persada) UiTM, generasi baharu di Lembah Klang, Pengurusan Felda dan himpunan generasi baharu dari semua tanah rancangan, perhimpuan itu dijangka dapat mengumpulkan lebih 12,000 orang peserta.

"Kita juga mahu setiap anak Felda yang berjaya dalam sektor awam dan swasta kembali dan bantu tingkatkan pembangunan di tempat asal mereka kerana kejayaan mereka bermula di tanah rancangan. Maka berilah nasihat, sokongan dan buah fikiran kembali kepada penduduk tanah rancangan, tidak boleh bergantung kepada pengurusan Felda sahaja," tegasnya.

Namun, beliau mengakui setiap usaha murni Felda pasti ada bantahan tapi bukan daripada anak-anak Felda yang berwawasan tapi pihak luar yang mempunyai agenda peribadi dan tidak mahu memberi kerjasama walau apapun program yang dijalankan termasuk yang baik dan murni.

"Nawaitu mereka ini adalah untuk pecahkan undi dalam Felda menjelang pilihan raya. Walaupun ada anak Felda yang terpesong sedikit, kita tetap harap mereka dapat sertai dan jayakan perhimpunan kita. Anak muda dan generasi baharu Felda perlu buang pemikiran terpesong dan negatif kerana sedikit sebanyak, mereka perlu ada perasaan mahu membantu Felda terus berjaya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...