Friday, September 28, 2012

RAPID BANYAK MANFAAT UNTUK RAKYAT

Pelbagai tanggapan negatif yang selama ini menentang Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) oleh Petronas di Pengerang, Johor sewajarnya diperbetulkan dengan melihat pelbagai faedah yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat khususnya.

Projek itu di samping dapat menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel, ia turut menambah kemampuan pengeluaran pelbagai produk keperluan harian lain. 

Peluang kerjaya

Mungkin penduduk di Pengerang risau mengenai aktiviti harian mereka seperti nelayan terganggu. Sebenarnya, projek ini hanya menggunakan sebahagian kawasan dan mereka ada banyak lagi pilihan lain untuk ke laut” - Juniwati Rahmat Hussin, Naib Presiden dan Pengarah Usahaniaga Kompleks Bersepadu Pengerang
Tidak setakat itu, ribuan peluang pekerjaan dijamin akan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat di samping menikmati taraf hidup lebih sempurna selepas tumpuan pembangunan akan turut menjadi keutamaan di hujung selatan Johor itu.

Naib Presiden dan Pengarah Usahaniaga Kompleks Bersepadu Pengerang, Juniwati Rahmat Hussin, berkata selepas projek itu siap pada 2016, ia bakal menyediakan lebih 4,000 peluang kerjaya yang pastinya akan lebih dimanfaatkan penduduk setempat.

Tingkatkan ekonomi

“Bukan itu saja, dengan 4,000 pekerja di situ, pelbagai peluang untuk menambahkan ekonomi akan dinikmati penduduk setempat. Mereka boleh ambil peluang itu untuk buka restoran, kedai dobi, kedai serbaneka dan pelbagai jenis perniagaan lagi.

“Malah, penduduk setempat dan masyarakat perlu memahami kepentingan produk petrokimia di mana sebenarnya ia digunakan dalam kehidupan seharian kita semua. Dua peratus daripada minyak mentah adalah untuk hasilkan produk pengguna seperti makanan, ubat-ubatan, bahan pencuci, produk keselamatan, pakaian dan penjagaan diri.

“Pengawet makanan untuk mengekalkan lemak, perasa dan warna kebanyakannya menggunakan minyak mentah. Ubat jenis kapsul juga gunakan petroleum untuk hasilkan bekasnya. Bahan asas dalam pencuci juga gunakan minyak dan kekuatan nilon daripada petroleum digunakan untuk tali pinggang keselamatan.

“Banyak lagi sebenarnya peralatan harian dalam rumah kita menggunakan produk petroleum termasuk permaidani, pakaian, pewarna rambut, losyen, produk kosmetik, pewangi dan banyak bahan di kereta turut gunakan minyak.

“Justeru, betapa pentingnya petroleum atau minyak mentah dalam kehidupan kita. Kita risaukan masalah yang timbul daripadanya sedangkan kita gunakan ia setiap hari. Ramai tidak sedar di sekeliling kita terlalu banyak produk daripada bahan itu,” katanya.

Kriteria ketat

Mengenai kerisauan penduduk berkenaan kerosakan dan pencemaran alam sekitar akibat projek itu, Juniwati berkata, RAPID menggunakan pelbagai kriteria ketat sebelum menerima mana-mana syarikat atau projek untuk bersama di Pengerang.

Malah menurutnya, kriteria yang ketat itu akan memastikan tidak timbul sebarang masalah sama ada terhadap alam sekitar dan keselesaan penduduk.
Pengalaman luas pasukan RAPID dalam mengendalikan beberapa projek sebelum ini seperti di Kerteh dan Bintulu akan digunakan untuk membangunkan Pengerang.

“Dulu ketika saya terbabit dengan projek di Kerteh, keadaan di sana sangat ketinggalan. Tidak membangun langsung tetapi selepas projek Petronas, kini kawasan itu membangun dengan pesat dan sudah pasti ia memberi manfaat terhadap ekonomi penduduk setempat.

Kegiatan harian tidak terjejas

“Mungkin penduduk di Pengerang risau mengenai aktiviti harian mereka seperti nelayan terganggu. Sebenarnya, projek ini hanya menggunakan sebahagian kawasan dan mereka ada banyak lagi pilihan lain untuk ke laut.

“Malah, mereka perlu ambil kira peluang pekerjaan lain untuk anak mereka. Dijangkakan sebanyak 40,000 pekerja diperlukan dalam tempoh pembinaan dan 4,000 lagi apabila ia mula beroperasi.

“Ia sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk selain memberi pengetahuan sebagai pekerja mahir. Ini kerana RAPID menjalinkan kerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk merekrut pekerja mahir bagi tujuan ini.

“Ia sudah pun dimulakan dan sudah pasti fokus utama kita ialah kepada penduduk setempat. RAPID juga akan menggunakan teknologi tercanggih serta mematuhi standard antarabangsa tertinggi dalam memastikan keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Rekod Petronas

Beliau turut mengajak masyarakat melihat rekod bersih Petronas yang sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan kesihatan dan alam sekitar dalam semua projek terdahulu. Bukan mudah bagi Petronas menerima rakan dalam projek Pengerang kerana 40 peratus penilaian mengambil kira kriteria yang sangat ketat.

Malah, Petronas sudah mengambil langkah awal dalam menentukan apa tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku masalah meskipun risikonya sangat tipis. Sudah semestinya Petronas mengutamakan keselamatan kerana turut membabitkan kakitangannya sendiri yang bakal bekerja di situ nanti, katanya.

“Kami bercadang untuk ke sekolah dan kolej bagi menjelaskan kepentingan produk petrokimia. Kesedaran orang ramai penting dalam menjayakan projek ini dan kami akan berusaha memberi kefahaman itu.

“Pengalaman saya sendiri membangunkan beberapa projek sama sebelum ini akan membantu. Sudah pasti saya sendiri tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku. Kerana itu, rancangan teliti sudah dirancangkan,” katanya.

2 comments:

  1. Senang je..Kalau orang Pengerang tak nak,
    bawa projek tu ketempat saya...

    ReplyDelete
  2. Singapore yg x ada sumber minyak dan gas pula blh buat kilang besar. Sepatutnya malaysia yg ada sumber minyak dan gas bumi patut buat kilang. Itu bodoh namanya klu x buat. Dah lama singapore itu kenyang makan hasil dari pelabuhan dan export minyak dan gas ke negara lain. Sudah tiba masa nya rakyat johor menikmati hasilnya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...