Friday, May 18, 2012

409 peneroka terima RM6.135 juta


Seramai 409 peneroka Felda Bukit Besar di sini menerima 'durian runtuh' berjumlah RM6.135 juta dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di dewan serbaguna tanah rancangan tersebut semalam.
 
Rata-rata peneroka terbabit yang menjangkau usia emas, teruja ketika menerima pemberian itu yang disampaikan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Seorang peneroka, Mohd. Shah Misnan, 58, berkata, dia memang menunggu saat-saat menggembirakan itu kerana baginya, segala usaha dan penat lelah selama ini akhirnya berbaloi apabila diberikan imbuhan.

"Pemberian 'durian runtuh' ini membuktikan kerajaan menghargai peneroka yang berkorban membuka kawasan Felda selama ini. Duit ini akan saya simpan dan manfaatkan untuk keluarga," kata bapa kepada empat anak itu.

Bagi Salbiah Ibrahim, 60, jumlah wang yang diterima tersebut bukan sedikit dan dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Felda di atas pemberian yang disifatkannya sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan kepada rakyat.

"Alhamdulillah ini merupakan saat yang cukup menggembirakan, lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang semakin uzur selepas kematian suami 10 tahun lalu.

"Saya mahu buat sedikit kenduri tahlil arwah dan kesyukuran untuk keluarga sebelum memikirkan langkah seterusnya," katanya yang kini mengalami strok separuh badan akibat sakit angin ahmar.

Sementara itu, Halimah berkata, tiada masyarakat di dunia ini bertuah seperti peneroka di Malaysia yang dijaga dengan begitu istimewa.

"Jagalah tanah ini elok-elok untuk anak-anak dan cucu-cicit kita. Percaya serta yakin dengan kerajaan yang sentiasa berusaha menjaga dan mensejahterakan rakyat dengan baik," katanya ketika berucap sebelum majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...