![]() |
Khaled (tiga, kiri) bersama 20 NGO membakar gambar Mohammad Nizar sebagai membantah kenyataan yang dikeluarkan di laman twitter yang dianggap sebagai biadab. |
Tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW1 oleh Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar menimbulkan kemarahan banyak pihak. Ketua Pemuda Umno Negeri, Fadil Muskon berkata, pihak polis dan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta semua pihak
bertanggungjawab perlu mengambil tindakan terhadap Mohammad Nizar.
Menurutnya, tindakan Mohammad Nizar disifatkan biadab kerana sewenangwenangnya melemparkan fitnah terhadap Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai sultan yang berjiwa rakyat.
“Segala peruntukan undang- undang hendaklah digunakan dengan tegas dan perlu diambil tindakan keras terhadap Nizar sebagai tauladan supaya tidak menjadi ikutan kepada orang lain.
“Kita mengharamkan Nizar menjejakkan kaki ke bumi Johor kerana tindakan biadabnya boleh menjadi hasutan kepada rakyat untuk mencemuh institusi diraja Johor,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Pemuda Umno Johor Bahru bersama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak dan bertindak membakar gambar Mohammad Nizar selepas turut membuat laporan polis sebagai membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Ketua Pemuda Umno Johor Bahru, Khaled Mohamed berkata, tindakan Mohammad Nizar telah mempersendakan Sultan Johor dan disifatkan boleh mencemarkan institusi diraja negeri ini. Menurutnya, kenyataan Mohammad Nizar ternyata tidak berasas kerana Sultan Ibrahim dikenali sebagai Sultan yang prihatin dan banyak menghulurkan bantuan meringankan beban rakyat negeri ini.
“Kita mahu ingatkan Nizar supaya tidak mencampuri urusan Johor kerana kita lebih mengenali sikap sebenar Sultan kita yang pemurah sehingga sanggup mengurniakan tanah istana untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Sikap baginda yang berjiwa rakyat turut diakui rakyat negeri ini apabila setiap tahun mengadakan Program Jelajah Kembara Mahkota Johor ke seluruh pelusuk kampung untuk mendekati rakyat baginda,” katanya.
Mohamad Khalid yang turut disokong 20 NGO antaranya Pertubuhan Adat Melayu Malaysia, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Malaysia, Kelab Sukan dan Kebajikan Pemandu Wilayah Iskandar Johor dan Perkasa cawangan Johor Bahru turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera.
No comments:
Post a Comment