Pergerakan Pemuda Umno Pulai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Perak Datuk
Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya yang dianggap
biadap terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim.
Laporan polis itu dibuat pada pukul 9.30 malam Selasa oleh Setiausaha Kerja Pemuda Umno Pulai Asyik Rahmat di Balai Polis Tampoi.
"Kami sebagai rakyat Johor berasa amat marah dan tersinggung dengan kenyataan Mohamad Nizar yang memfitnah Sultan Johor bahawa baginda telah menyalahguna wang rakyat dalam pembelian nombor plat WWW 1," katanya pada sidang media.
Turut hadir pada sidang media itu ialah wakil dari Perkasa Parlimen Pulai, Pekida Zon Kempas, KRT Skudai Kiri dan Persatuan Dewan Belia Jaya serta lebih 50 anggota mereka.
Menurut Asyik, mereka menyokong kenyataan yang dibuat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris di dalam Twitternya bahawa pembelian nombor plat itu menggunakan duit peribadi Sultan Johor dan bukan wang rakyat.
No comments:
Post a Comment