Monday, June 11, 2012

KERAJAAN JOHOR HASRAT LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN

Salah seorang peserta tilawah Al-Quran

Kerajaan Negeri Johor berhasrat melahirkan generasi al-Quran dengan menerapkan elemen-elemen penting termasuk tekun belajar, sentiasa membaca, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan harian. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, beliau bersyukur kerana di negeri ini, program membudayakan al-Quran telah mendapat sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada tahun 1996.


“Ketika ini, hampir 80,000 rakyat Johor menyertainya sama ada di masjid atau surau, pejabat kerajaan, badan berkanun, agensi swasta dan industri dengan membaca al- Quran beramai-ramai setiap minggu sepanjang tahun.

“Moga-moga inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi usaha kita untuk melahirkan generasi al-Quran yang teguh imannya berlandaskan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, persefahaman di kalangan masyarakat penting untuk mewujudkan perpaduan ummah dan memperkukuhkan ikatan dalam kehidupan. Menurutnya, Islam amat menitikberatkan umatnya supaya hidup saling bekerjasama dan bersefahaman kerana ia dilihat sebagai satu cara yang memberikan kehidupan aman, daman dan sejahtera.

“Persefahaman ini juga dapat membina tamadun manusia yang disegani sebagaimana yang  telah dibuktikan dalam sejarah Islam. Dengan kembali kita kepada ajaran al-Quran, persengketaan dapat dielakkan dan permusuhan dapat dipadamkan selama-lamanya,” katanya.

Seramai 27 qari dan qariah dari semua negeri, kecuali Kelantan yang tidak menghantar qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing. Penganjuran majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan secara tahunan itu menggambarkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya minat terhadap kitab suci umat Islam dan memahami intipati serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan  ALLAH SWT.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...