PAS dicabar supaya mengambil tindakan tegas terhadap bekas menteri
besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikai
tindakan Sultan Johor Sultan Ibrahim membida nombor plat WWW 1 menerusi
laman Twitternya. Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah
memalukan jika parti itu tidak mengambil tindakan terhadap Mohammad
Nizar dan ia menggambarkan parti itu 'bersekongkol' dan bersetuju
mengenai kenyataan pemimpin mereka itu.
"Walaupun (Naib Presiden PAS) Salahuddin (Ayub) dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin (Hassan) seolah-olah mahu lari daripada terlibat sama dalam masalah (Mohammad) Nizar tetapi mereka harus ikhlas mencadangkan kepada kepimpinan PAS supaya mengambil tindakan terhadapnya," katanya.
Beliau berkata PAS boleh mengenakan tindakan supaya Mohammad Nizar tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kerana jika ada jawatan, banyak lagi kerosakan imej terhadap parti yang boleh dilakukan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.
Ahmad Zahid berkata Mohammad Nizar telah lupa bahawa bidaan bernilai RM520,000 atas nombor plat oleh Sultan Johor itu akan disalur kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment