Friday, November 9, 2012

Cuba cari publisiti, retorik politik


JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali beranggapan kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Serom pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai retorik politik. Beliau berkata, Salahuddin tidak sepatutnya menunggu arahan pucuk pimpinan Pas jika benar ingin bertanding di situ.

“Bagi saya ini semua retorik. Jika benar hendak lawan, lawanlah, tidak perlu tunggu arahan parti jika memang seperti katanya dia seorang ayam tambatan.

“Ini semua mencari publisiti dan retorik yang pada masa sama mereka ingin memberi keyakinan kepada orang dia, sedangkan hakikat mereka ketahui tidak sejauh mana boleh pergi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini , semalam.

Sementara itu, Pemuda Umno Bahagian Tebrau mencabar Salahuddin untuk meyakinkan kepimpinan parti supaya dapat bertanding di kawasan berkenaan.

Ketuanya, Syahrin Md Jamaludin berkata, Salahuddin juga diingatkan agar tidak mencari publisiti murahan dengan menyatakan kesediaan menentang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

“Dia (Salahuddin) jangan cari publisiti murahan untuk bertanding di Dun Serom yang kini disandang Menteri Besar.

“Saya cabar dia untuk yakinkan kepimpinan Pas di peringkat pusat sekali gus wajib bertanding di sana (Dun Serom),” katanya.

Syahrin berkata, Salahuddin tidak perlu mempolemikkan isu kononnya mahu bertanding di negeri ini hanya untuk kepentingan politik sendiri selain bermain wayang bagi mengaburi mata pengundi.

Tambahnya, jangan kata bersedia untuk bertanding, tetapi selepas itu apabila tidak dapat kononnya akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Jika benar dia mahu bertanding di Dun Serom, silakan. Tetapi, jangan sekadar cakap sahaja,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Salahuddin tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kawasan Dun Serom pada PRU13.

Kenyataan untuk bertanding di Dun Serom itu selari dengan nada yang dilontarkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan bertanding di Parlimen Pekan, yang kini disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...