Friday, December 7, 2012

GENERASI KEDUA FELDA ENDAU TERIMA DURIAN RUNTUH


MERSING - Selepas ketua keluarga dan isteri peneroka menerima bayaran durian runtuh sebanyak RM5,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Mei lalu, kini tiba pula giliran generasi kedua. Bertempat di Dewan Raya Felda Endau, dekat sini, seramai 225 penerima terdiri daripada generasi kedua di Felda berkenaan menerima cek yang disampaikan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, baru-baru ini.

Keseluruhan jumlah bayaran yang diberikan lebih RM1juta. Rata-rata yang menerima cek berkenaan nyata begitu gembira dan turut dikongsi bersama ahli keluarga.

Menurut Abdul Latiff, pembayaran ini membuktikan kerajaan menunaikan janji bukan sahaja kepada ketua keluarga peneroka Felda malah isteri dan anak-anak.

“Ia sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada anak-anak peneroka yang pada waktu dahulu perlu menempuhi pelbagai cabaran bersama ibu bapa bagi meneroka kawasan hutan hingga menjadi tanah rancangan,” katanya

Seorang penerima, Zakariah Kamain, 54, berkata, dia berasa bertanggungjawab menguruskan wang yang diterima dengan adil dan sebaik mungkin.

“Saya akan mengagihkan wang diterima sama rata antara adik-beradik dan turut berterima kasih atas pemberian yang telah dijanjikan oleh kerajaan.

“Ternyata Felda tidak pernah mengabaikan kebajikan kami warga peneroka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...