Tuesday, June 12, 2012

PERMOHONAN MAAF, CUBAAN NIZAR BODOHKAN RAKYAT JOHOR


Nizar Jamaluddin

Akibat desakan dan bantahan yang dibuat oleh rakyat Johor atas kelancangan dan kebiadapan Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu akhirnya mula sedar akan natijah dan kesan yang dilakukannya. Sebelum ini Nizar telah mengkritik tindakan DYMM Baginda Sultan Johor yang menawarkan bidaan tertinggi sebanyak RM520,000 untuk plat bernombor WWW1. Ketika ditanya oleh wartawan di lobi parlimen sebentar tadi, dia mengatakan akan menghantar surat permohonan rasmi bagi menghadap Sultan Johor dalam masa terdekat bagi membolehkan dia menerangkan kedudukan sebenar.


Apabila ditanya lagi, dia turut mengatakan bersedia untuk meminta maaf bagi menghentikan kontroversi tersebut namun di masa yang sama tetap mempertahankan kenyataan ‘tweetnya’ itu. Dia bertegas mengatakan kenyataan itu merupakan pandangan peribadi, bersifat umum dari rakyat dan tidak menggambarkan penghinaan kepada Sultan dan  berkata inilah sifatnya sebagai seorang rakyat.

“Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa,” katanya.

Kenyataan Nizar yang disiarkan oleh Harakah Daily
Namun ketika ditanya mengenai saranan titah Sultan Ibrahim yang menyatakan agar dia memohon kemaafan kepada rakyat Johor, dia hanya mengatakan ingin berjumpa dengan Sultan Johor sendiri untuk menyatakan permohonan maaf itu.

Nizar jelas tertekan apabila kenyataan twitternya itu telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan rakyat. Baru-baru ini, dilaporkan seramai 30,000 rakyat Johor telah berhimpun di perkarangan istana Pelangi bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor sebagai manifestasi terhadap tindakannya.
30k rakyat Johor hadir di Istana Pelangi sebagai tanda sokongan

Sebelum ini ada ‘suara-suara’ yang mengatakan kenyataan Nizar itu turut mendapat bantahan dari penyokong dan pengikut Pas di Johor yang merasakan keyataan tersebut merupakan tindakan sabotaj kepada jentera parti yang bakal menyebabkan peluang Pas untuk merampas beberapa kerusi DUN dan Parlimen Johor terjejas. Kenyataan Salahuddin Ayub ketika ditanya sebelum ini turut melahirkan nada untuk tidak bersetuju, apabila menegaskan kenyataan Nizar itu bersifat peribadi dan bukannya pendirian rasmi Pas.

Nizar juga ketika memberikan kenyataan maaf, di lobi parlimen tadi hanya ditemani oleh beberapa wakil ahli parlimen Pas yang cenderung mendokong ideologi Anwar Ibrahim. Dalam erti kata lain dia hanya ditemani oleh puak-puak Endorgan satu lagi bukti yang menunjukkan golongan agama tidak begitu senang dengan tindakan Nizar yang dilihat ‘mempunyai niat tersebunyi’.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihak polis akan mengemukakan kertas siasatan mengenai kenyataan tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Mohd Mokhtar berkata, sehingga kini pihak polis telah menerima sebanyak 46 laporan daripada pelbagai pihak dan siasatan terhadap kes itu hampir selesai.

Namun yang menjadi persoalannya ialah, apakah Nizar cuba memperbodoh-bodohkan Sultan dan rakyat Johor? Ini kerana isu ini timbul kerana kenyataannya yang bersifat penghinaan dan biadap terhadap Sultan. Untuk apa permohonan maaf tersebut sekiranya kenyataan twitternya itu tetap dipertahankan. Sekiranya dia merasakan kenyataannya itu bukan ditujukan kepada Sultan Ibrahim dan merasakan ia bukan satu penghinaan, untuk apa menghantar permohonan rasmi untuk mengadap?

Bukanlah niat untuk memanjangkan isu ini, namun sekiranya Nizar benar-benar ikhlas, dia sepatutnya menarik balik kenyataan tersebut yang telah menimbulkan kemarahan rakyat Johor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...