Friday, May 18, 2012

Himpunan Belia Iskandar platform cari peluang pekerjaan


Golongan belia di negeri ini disaran menjadikan Himpunan Belia Iskandar Malaysia Johor 2012 yang membuka tirainya hari ini sebagai platform untuk mencari peluang pekerjaan selain maklumat mengenai pembangunan di Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday berkata, Iskandar Malaysia menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan di pelbagai peringkat dan tidak hanya terhad kepada pemegang ijazah.
"Jangan rasa diri tiada diploma atau ijazah, kita tidak boleh bersaing atau mendapat pekerjaan kerana di Iskandar Malaysia pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang teknikal disediakan.

"Golongan belia perlu menyiapkan diri untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di sini dan bukan sekadar berkumpul beramai-ramai melakukan aktiviti sahaja," katanya pada majlis taklimat program berkenaan di sini hari ini.

Program yang diadakan selama empat hari hingga Ahad ini adalah anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta Majlis Belia negeri.
Program itu turut menyasarkan penyertaan seramai 100,000 belia dari seluruh daerah negeri ini dengan 75 aktiviti melibatkan 13 segmen termasuk Karnival Belia Islam Malaysia, Kem Sukarelawan, Program Tanam Pokok, Karnival Jom Centre, sukan permotoran dan pertandingan catur.

Md. Jais berharap belia negeri ini hadir ke setiap lokasi program bagi melihat sendiri tawaran yang disediakan terutama peluang pekerjaan.

Beliau memberitahu, setiap program yang diadakan memiliki pengisian tersendiri bersesuaian dengan kehendak dan minat golongan belia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...