Lebih 200 ahli Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau mengadakan bantahan
secara aman di perkarangan pusat membeli belah Jusco Tebrau, di sini, sebagai
tanda mengutuk perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu. Bantahan diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md
Jamaludin itu bermula sekitar jam 2.30 petang dengan mengagihkan risalah
berhubung keburukan perhimpunan Bersih 3.0 dan mengedar balon kepada pengunjung
pusat membeli belah berkenaan.
Kesemua Pemuda Umno Bahagian Tebrau yang hadir kemudiannya membakar pakaian
perhimpunan Bersih 3.0 yang dipakai ketika kejadian di sebuah kawasan lapang
berdekatan pusat membeli belah itu. Syahrin berkata, bantahan itu diadakan untuk mengetengahkan suara ‘orang
muda’ dalam kawasan Parlimen Tebrau terhadap perhimpunan itu yang disifatkan
sebagai kotor.
"Kita menentang perhimpunan haram itu kerana jelas menerusi gambar dan
laporan polis mendapati Bersih 3.0 sudah membohongi rakyat, Ia tidak aman dan
didukung oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), juga diperkudakan oleh
pembangkang.
"Lebih penting, bantahan hari ini diadakan untuk menolak tindakan
Bersih 3.0 yang mengadakan perhimpunan haram di Jusco Tebrau kerana ia
menyinggung perasaan kami yang inginkan keamanan.
"Mengapa tempat membeli-belah untuk kita bersiar bersama keluarga
dicemari dengan Bersih 3.0?," katanya kepada pemberita ketika ditemui
selepas bantahan berkenaan, di sini, semalam.
Syahrin berkata, bantahan dibuat juga merupakan satu isyarat kepada
Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S Ambiga bahawa tempat awam tidak wajar dijadikan
lokasi demonstrasi seperti 28 April lalu.
"Kalau Ambiga rasa terseksa dan tidak selesa dengan adanya gangguan
orang menjual ‘burger’ serta melakukan senaman punggung di rumahnya, begitu
juga perasaan kami yang rasa terhina dan tersinggung apabila tempat awam kami
digunakan untuk dijadikan demonstrasi Bersih yang kononnya yang aman dan elok.
"Kami juga menyokong kerajaan dan polis seterusnya meminta agar membuat
yang terbaik bagi memelihara keamanan di negara ini termasuklah negeri dan
kawasan Parlimen Tebrau," katanya.
Mengulas mengenai cadangan penganjuran perhimpunan Bersih 4.0, Syahrin tidak
menolak kemungkinan perkara berkenaan akan diadakan sebagai alat menimbulkan
kekacauan dan memberi imej negatif negara di mata dunia luar.
No comments:
Post a Comment