Saturday, May 19, 2012

Perpaduan senjata paling ampuh - MB


Menteri Besar Johor , Dato’ Abdul Ghani Othman, mengingatkan rakyat akan bahaya perpecahan kerana ia hanya akan menjadikan mereka lemah yang seterusnya membuka peluang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan dariapda kelemahan itu.

“Kita kena insaf, kalau kita berpecah belah maka kita akan lemah. Apabila lemah, orang lain akan mengambil kesempatan. Inilah yang berlaku pada ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Johor supaya jangan sekali-kali mengizinkan perpecahan berlaku di kalanga mereka. Katanya, senjata paling kuat yang terbukti mampu untuk menghadapi apa juga cabaran yang melanda negara ialah perpaduan di kalangan rakyat.

Beliau berkata, ia telah dibuktikan oleh orang Melayu dahulu apabila melalui perpaduan mereka berjaya menggagalkan usaha penjajah memperkenalkan gagasan Malayan Union ke atas negara ini.

“Kita lihat sekarang suasana politik di negara kita agak mencabar sejak kebelakangan ini. Oleh itu cara untuk kita menghadapi cabaran ini tidak lain tidak bukan adalah dengan mengukuhkan perpaduan di kalangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucapa pada majlis penyampaian hak milik tanah Felda Nitar 1 dan 2 di sini semalam. Pada majlis itu, 434 peneroka dari Felda Nitar 1 dan 450 dari felda Nitar 2 menerima hak milik masing-masing. Abdul Ghani berkata, kira-kira 42 tanah rancangan di negeri ini melibatkan kira-kira 17,000 peneroka negeri ini telah menerima hak milik tanah mereka.

“Ada baki lebih kurang 7,000 peneroka lagi yang belum menerima hak milik dan Kerajaan Negeri sedang dalam proses untuk mengurniakannya kepada peneroka.

“Apa yang pasti seperti yang dijanjikan kerajaan, janji itu akan ditepati,” katanya.

Abdul Ghani turut menasihati peneroka supaya menjaga tanah kurnia yang diberi oleh Kerajaan Negeri untuk generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...