Sultan Ibrahim |
Sultan
Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan
Iskandar telah menasihati putera-putera dan puteri baginda supaya jangan
terlibat dalam sebarang kejadian yang boleh memalukan keluarga diraja
Johor. Sehubungan
dengan itu, Sultan Ibrahim telah menasihati putera-putera dan puteri
baginda agar mengadap dan mendapatkan kebenaran daripada Tuanku Sultan
sebelum keluar dari negeri Johor. “Saya
telah menasihati anak-anak saya supaya mendapatkan kebenaran sebelum ke
Kuala Lumpur atau pun Singapura kerana mereka boleh sentiasa sahaja
terdedah kepada provokasi atau mungkin ada yang cuba mencari masalah
dengan melakukanprovokasi,” titah baginda.
Titah
baginda lagi, sekiranya mereka berada di dalam situasi yang boleh
mendatangkan masalah, nasihat baginda ialah, segera meninggalkan tempat
tersebut. Sepanjang
temuramah itu, baginda Sultan menegaskan adalah tidak adil untuk pihak
lain mengaitkan sesiapa sahaja dengan gelaran “Tengku” atau “Tunku” yang
terlibat dalam pergaduhan atau sesuatu yang tidak elok dengan keluarga
diraja Johor.
“Adakah
kami pencetus masalah? Kami bukan pencetus masalah. Saya sentiasa
mengingatkan anak-anak saya supaya menghormati orang lain. Jangan
terlibat dalam perkara-perkara yang boleh memalukan keluarga diraja
Johor. Orang mahu melihat kamu melakukan kesilapan. Jadi hindar dari
segala provokasi dan masalah.
“Tetapi
itu pun saya sentiasa ingatkan pengawal keselamatan supaya jangan
berkasar dengan orang awam tetapi mereka juga ada tanggungjawab dan
peranan yang perlu dilakukan. Orang mungkin salah faham dan berasa iri
hati. Sebab itulah saya sentiasa ingatkan anak-anak saya supaya jangan
terlibat dalam sebarang situasi yang boleh mencetuskan masalah,” jelas
baginda.
INSTITUSI RAJA-RAJA
Kepada
satu soalan, Sultan Ibrahim menjelaskan, sama ada institusi raja-raja
masih lagi relevan dengan era milenium ini perlulah dilihat dari konteks
sesebuah masyarakat, negara, adat, budaya dan sejarah.
“Malaysia
ada sejarah dan budayanya sendiri dan Kesultanan Johor telah sedia
wujud sejak tahun 1885 lagi. Di dunia lain mungkin ada Raja yang
disingkir...jadi kita perlu tanya kenapa Raja-Raja disingkirkan. Di
negara kita, Raja-Raja adalah sebuah institusi yang berkait rapat dengan
sejarah, adat dan budaya bangsa itu sendiri.
“Hari ini, Raja-Raja memainkan peranan check and balance di
dalam sebuah negara. Sebab itulah Raja-Raja sentiasa berada di atas
politik dan tidak mencampuri urusan politik. Jadi nasihat saya ialah,
jangan mempolitikkan institusi Raja-Raja kerana itulah yang dipersetujui
apabila kita membentuk negara ini.
BLOG
Sultan
Ibrahim turut menyatakan pandangannya mengenai tulisan-tulisan yang
muncul dalam laman blog dan internet mengenai beberapa isu khususnya
yang berkaitan dengan institusi raja-raja.
Titah
baginda; “Sejak akhir-akhir ini, saya ada ikuti beberapa tulisan di
dalam blog. Ada yang tulis perkara yang bukan-bukan. Tetapi nasihat saya
ialah jagalah adab dan bahasa kita. Sesetengahnya menulis menggunakan
bahasa yang tidak sesuai langsung untuk dibaca.”
Jelas
baginda, ketika berlangsungnya program Kembara Mahkota selama empat
hari baru-baru ini, para blogger turut dijemput untuk menyaksikan
sendiri bagaimana keluarga diraja Johor berinteraksi dengan masyarakat.
“Mereka
boleh saksikan sendiri apa yang saya buat sepanjang empat hari itu. Dan
sesuatu yang sangat-sangat menyentuh perasaan saya ialah, jika rakyat
boleh menunggu di tepi jalan selama berjam-jam hanya untuk bersalaman
dan bercakap dengan saya, maka saya patut tengok dan menjaga hal ehwal
rakyat saya. “
BUKAN CARA SAYA
Tetapi
nyata Sultan Ibrahim, pada masa yang sama, bukanlah menjadi cara dan
gaya baginda untuk memberitahu kepada umum apakah yang telah baginda
lakukan untuk membantu masyarakat secara amnya dan juga secara
khususnya.
“Bukanlah menjadi style saya
untuk mengumumkan setiap satu perkara yang saya lakukan untuk
rakyat...tapi mereka yang telah menerima sesuatu daripada saya tahu apa
yang telah saya lakukan untuk membantu rakyat negeri saya.
“Namun
begitu saya juga sentiasa mengikuti apa yang dilaporkan oleh media
kerana bagi saya komen media sangat penting kerana media sentiasa berada
bersama rakyat untuk melaporkan keluh kesah mereka...saya perlu maklum
balas daripada media untuk memahami dan mengetahui apa lagi yang boleh
saya buat untuk rakyat saya.
“Saya
tidak pernah umumkan apa yang saya beri kepada rakyat saya tetapi saya
perlu tahu apakah reaksi rakyat terhadap saya,” jelas Sultan Ibrahim.
Dalam
hubungan ini Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda mahu
putera-putera dan puteri baginda memahami hal ehwal rakyat dan
masyarakat.
“Anak-anak
saya kena tahu tentang rakyat dan saya mahu mereka bertemu dengan
rakyat dan badan-badan bukan kerajaan sekerap yang mungkin...bukan
sekadar turun menunaikan solat Jumaat bersama rakyat sahaja.
URUSAN PERNIAGAAN
Sultan
Ibrahim juga menjelaskan bahawa segala urusan perniagaan yang diuruskan
baginda selama ini akan diserahkan kepada putera-putera dan puteri
baginda.
“Saya
tidak lagi boleh meneruskannya kerana kedudukan saya sebagai Sultan
tetapi saya akan melatih anak-anak saya untuk menguruskan perniagaan
mereka sendiri.
“Mereka
harus belajar bagaimana hendak menguruskan perniagaan ini. Saya belajar
segala-galanya dari bawah. Saya menguruskan perniagaan saya sendiri
sejak saya menjadi Tunku Mahkota Johor lagi. Segala urusan di dalam
istana, pembayaran gaji kakitangan, staf peribadi Almarhum ayahanda saya
semuanya saya yang uruskan.
“Tetapi sekarang sudah tiba masanya untuk saya mengajar anak-anak saya bagaimana hendak mengurus perniagaan mereka.
“Saya
mempunyai ladang kelapa sawit seluas 40,000 ekar di negeri Johor.
Semuanya saya uruskan sendiri. Dari membeli biji benih sehingga kepada
menanam, menuai, membaja, semuanya saya belajar sendiri.
“Saya
mahu anak-anak saya juga lakukan perkara yang sama. Saya sedang membina
rumah di tengah-tengah ladang saya dan saya mahu mereka duduk di ladang
dan belajar dari bawah.
“Saya
akan hantar mereka ke Felda untuk mempelajari pengurusan ladang kelapa
sawit daripada Felda serta perjalanan perniagaan kelapa sawit,” jelas
Sultan Ibrahim lagi.
No comments:
Post a Comment