Monday, June 18, 2012

ISKANDAR MALAYSIA, RAKYAT AKAN TERIMA MANFAAT

Iskandar Malaysia

Iskandar Malaysia telah  merekodkan pelaburan komited yang terkumpul berjumlah RM87.56 bilion dari tempoh 2006 hingga Mac 2012 lalu, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Tuanku bertitah, rakyat Johor akan menikmati kesejahteraan hidup yang lebih baik lagi hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berterusan apabila dalam suku pertama tahun ini negeri ini telah mencapai pelaburan lebih RM2 bilion.


“Saya amat sukacita kerana rakyat Johor juga bakal menerima manfaat besar daripada agenda transformasi ekonomi negara yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri. Lebih 30 peratus daripada nilai projek permulaan di seluruh negara, dilaburkan di negeri Johor. Ia membolehkan kita memasuki bidang yang baru iaitu industri minyak dan gas. Industri ini akan menjadi penjana ekonomi utama di selatan negeri Johor.

“Oleh itu, kerajaan perlu me-mastikan rakyat dilengkapkan dengan kemahiran di semua peringkat termasuk profesional, teknikal dan vokasional untuk membolehkan mereka menjadi tenaga kerja di bidang baru ini,” titah tuanku semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12, di Kota Iskandar.

Sultan Ibrahim bertitah, pelaburan yang masuk ke negeri ini tentunya membuka peluang-peluang perniagaan kepada industri kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang dan tahun lalu
industri itu telah menjana pendapatan RM330 juta hingga RM350 juta.

“Potensi bidang ini hendaklah terus dikembangkan supaya memberi sumbangan lebih besar kepada ekonomi dan rakyat Johor” titahnya.

Dalam pada itu, tuanku turut menasihatkan agar kualiti alam sekitar juga perlu diberi penekanan agar rakyat dapat hidup dalam suasana yang sihat dan sejahtera dan tanggungjawab sedemikian bukanlah menjadi tugas kerajaan semata-mata.

“Dalam pembangunan industri minyak dan gas di Pengerang, saya percaya pihak Kerajaan dan syarikat yang terlibat akan memastikan alam sekitar terus dijaga dan diurus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Semua pihak perlu memastikan pencemaran alam sekitar dapat dikawal dengan sempurna. Ini bukan tugas Kerajaan semata-mata.

Syarikat-syarikat swasta juga jangan mengambil mudah dengan mencemarkan sungai, melakukan pembakaran terbuka dan mengabaikan kebersihan sehingga menyebabkan masalah lain seperti gangguan lalat dan peningkatan bekalan air,” titah tuanku.

Baginda tuanku turut memberi teguran kepada pihak Southern Waste Management (SWM) yang memegang konsesi pengurusan sampah dan kebersihan di bandar-bandar dalam negeri ini supaya meningkatkan mutu kerja dan tahap kebersihan di kawasan yang diuruskan.

“Berikanlah perkhidmatan yang terbaik sebagaimana yang dijanjikan semasa cadangan dahulu,” titah tuanku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...