Orang Melayu di negeri ini digesa supaya terus mempertahankan
institusi raja yang berperanan sebagai paksi penyatuan kaum Melayu bagi
mengharungi pelbagai cabaran pada masa depan.Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata,
masyarakat Melayu mesti menumpahkan taat setia kepada institusi raja
sebagai ketua agama yang berada cukup dekat dan kuat dalam sanubari
orang Melayu.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah, kemasukan Islam ke negara ini
adalah atas keizinan Kesultanan Melaka dahulu dan agama suci itu terus
berkembang sehingga menjadikan kaum Melayu sebagai seorang umat Islam.
"Cuba kita bayangkan sekiranya Parameswara sebagai Sultan Melaka dan
baginda bukan seorang Islam ketika itu tidak mengizinkan pendakwah
menyebarkan ajaran Islam, maka siapakah kita sebagai Melayu ketika ini?
"Justeru, kita sebagai umat Melayu yang beragama Islam mestilah
memahami betapa besarnya peranan dan jasa institusi diraja kepada
perkembangan Islam serta orang Melayu di negara kita hari ini," katanya
pada Ceramah Wacana Minda Islam oleh bekas Exco Selangor, Datuk Dr.
Hasan Ali anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Segamat
dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim DUN Kemelah di
Dataran Segamat semalam.
Ayub berkata, orang Melayu kini sudah tidak lagi memikirkan nasib
kaumnya, sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan diri sehinggakan
sudah berani mencampuri urusan institusi raja yang sepatutnya dihormati.
"Penderhaka hari ini tidak datang dari kalangan orang bukan Melayu,
tetapi penderhaka terdiri daripada kalangan orang Melayu sendiri.
"Sikap ini bertentangan dan menyimpang jauh daripada nilai yang
diamalkan generasi Melayu terdahulu yang meletakkan institusi raja di
tempat yang tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment