Tuesday, June 26, 2012

RAPID, JOHOR BELUM BAYAR PAMPASAN TANAH


Kerajaan Johor belum membuat bayaran atau pengumuman mengenai pampasan tanah untuk tapak kediaman penduduk yang akan diambil kerajaan bagi pembangunan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, dekat Kota Tinggi.


Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata ini kerana urusan pengambilan balik tanah yang terlibat masih di peringkat awal dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 belum lagi diwartakan.

"Maklumat-maklumat terperinci mengenai proses pengambilan balik tanah, kawasan yang terlibat, kawasan penempatan semula penduduk, penempatan semula kemudahan awam seperti sekolah, klinik, balai polis dan peluang pekerjaan dan sebagainya telah dipaparkan di Pusat Informasi Setempat Pengerang (PISP) yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali Isnin.

"Penduduk boleh mendapatkan maklumat dan bertanyakan soalan mengenai projek pembangunan industri minyak dan gas serta penempatan di pusat tersebut. Di samping itu, penduduk juga boleh mengemukakan cadangan dan pandangan mereka dengan mengisi borang maklum balas yang disediakan PISP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-12, di sini hari ini ketika menjawab soalan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) yang mahukan penjelasan berhubung bayaran pampasan kerajaan kepada penduduk untuk pengambilan tapak kediaman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...