Wanita Umno Johor meminta pucuk pimpinan parti di peringkat negeri
dan pusat supaya memperuntuk 30 peratus daripada calon-calon yang akan
bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di negeri ini kepada pergerakan
itu. Ketuanya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pergerakan itu
memiliki ramai calon-calon boleh menang yang mampu membawa kemenangan
kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang itu.
"Kita berharap 30 peratus daripada calon-calon Umno yang akan
bertanding di Johor sama ada kerusi negeri atau Parlimen pada pilihan
raya kali ini akan datang daripada Pergerakan Wanita Umno," katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang dan bekas anggota
Dewan Negara itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan
petang bersama ketua-ketua Wanita daripada parti-parti komponen BN Johor
baru-baru ini. Ditanya mengenai kedudukannya sendiri pada pilihan raya umum akan
datang ini, Sharifah Azizah berkata, beliau menyerahkan kedudukannya
kepada Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Johor dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
yang juga Presiden Umno.
"Saya serahkan segala-galanya kepada pucuk pimpinan parti di Johor dan
pusat. Saya tidak kisah jika diletakkan di mana-mana pun (kerusi)," kata
beliau.
Mengenai persediaan Wanita Umno dan BN Johor dalam menghadapi pilihan
raya umum ke-13 yang dijangka paling sengit dalam sejarah, beliau
berkata mereka telah bekerja keras menemui seberapa ramai rakyat
menerusi pelbagai program.
"Kita mempunyai banyak program yang memberikan kita peluang bukan
sahaja untuk mendekati rakyat di kesemua peringkat, tetapi juga kita
berusaha keras untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan yang
mereka hadapi," katanya.
Katanya kerjasama di antara Wanita Umno Johor dan pergerakan wanita
daripada parti-parti komponen BN yang lain berada di tahap terbaik
dengan masing-masing komited untuk memastikan calon BN menang di Johor.
"Wanita UMNO Johor dan BN komited memastikan Johor terus kekal sebagai
kubu kuat dan simpanan tetap untuk BN pada pilihan raya akan datang,"
kata Sharifah Azizah.
No comments:
Post a Comment