Johor Bahru, 6 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
agama Islam tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak di negara
ini.
Sebaliknya, kata Perdana Menteri, agama Islam seharusnya diletakkan di
tempat yang paling tinggi, sekali gus banyak permasalahan yang
membelenggu umat Islam pada masa kini dapat diatasi.
"Jika politik mengatasi Islam dan diletakkan lebih tinggi maka banyak
permasalahan menghantui umat Islam dan menyebabkan perpecahan yang kini
telah jadi punca kelemahan umat Islam dan menjadi punca musuh-musuh
Islam perlekehkan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis tadarus dan khatam
al-Quran serta majlis berbuka puasa di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid,
Taman Universiti, Skudai di sini Isnin. Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sentiasa
mengutamakan Islam dalam mentadbir urus negara dan mengikut landasan
serta tuntutan syiar Islam.
"Kita memajukan pentadbiran negara kita berdasarkan syariah dan itulah
tuntutan Islam kepada kita dan antara lima perkara yang kita lakukan
ialah menjaga Islam, sebab itulah kita dikenali negara Islam. Kita juga menjaga akidah Islam, jaga akhlak Islam, meningkatkan syiar
Islam, menyediakan prasarana Islam, perundangan Islam dan sebagainya,"
katanya.
Perdana Menteri berkata kejayaan kerajaan menguruskan Malaysia dengan
baik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran mendapat
pengiktirafan negara Islam yang lain sehingga menjadikan negara ini
sebagai model negara Islam yang berjaya. Dalam masa yang sama, katanya kerajaan tidak pernah mengabaikan
kebajikan kepada rakyat dan menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang
tidak dapat diperoleh di mana-mana negara di dunia ini.
"Malam tadi (semalam) saya berada di Bachok, Kelantan, rupanyanya ada
bantuan yang saya sendiri tidak tahu iaitu bantuan gangguan binatang
buas. Kalau kena patuk ular boleh dapat bantuan, mana ada kerajaan di
dunia berbuat demikian," katanya.
"Inilah kerajaan yang jaga kebajikan kita secara menyeluruh di mana
konsepnya kita hendak Islam dan dalam masa yang sama kita juga mahukan
kemajuan serta pembangunan.Kita tidak mahu Islam dikaitkan kemiskinan, kita tidak mahu Islam
dikaitkan dengan kelemahan dan kita mahu Islam yang dikaitkan dengan
gagah serta perkasa kerana Allah sayangkan orang yang berjaya," katanya.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib
berjemaah sebelum menikmati hidangan bersama Muhyiddin serta pemimpin
parti komponen BN yang lain. Beliau selepas itu menunaikan solat Isyak dan Tarawih sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment