PENGERANG - Rata-rata penduduk Pengerang yang ditemui gembira dengan
pembangunan yang bakal berlaku di pekan kecil ini, namun begitu mereka
mengharapkan pampasan yang diterima setimpal agar nasib mereka yang
perlu berpindah terbela.
Ketua Kampung Sungai Kapal, Abdul Kadir Ahmad berkata, kerajaan perlu
mempertimbangkan segala kebajikan penduduk sama ada dari segi harta dan
tanah apabila mereka berpindah ke penempatan baru nanti.
“Kita menyokong pembangunan ini kerana projek ini mengundang kemajuan
yang membanggakan. Malah bagi golongan muda, projek ini menjadi sumber
ekonomi di mana mereka tidak perlu keluar dari kampung untuk mencari
pekerjaan kesan limpahan projek ini.
Bagi salah seorang penduduk, Wahab Ibrahim, 52, setelah berpuluh-puluh
tahun tinggal di Kampung Teluk Empang, akhirnya impian untuk melihat
pembangunan di Pengerang tercapai.
“Pembangunan inilah yang kami nantikan selama ini. Sejak dahulu lagi
Pengerang seperti sebuah kawasan terpencil, namun tidak lama lagi ia
akan menjadi kawasan yang maju malah terkenal di serata dunia. Apa yang lebih penting pembangunan ini secara tidak langsung akan
menawarkan peluang masa hadapan yang cerah kepada anak-anak muda kampung
ini,” katanya.
Sementara itu, pasangan Rusli Karim, 56, dan Raudah Samad, 51, yang
menetap di Kampung Sungai Kapal bagaimanapun berasa sedikit bimbang
memikirkan masa hadapan keluarga dengan keadaan anak-anak yang masih
bersekolah apabila berpindah ke penempatan baru nanti.
Menurut Rusli, selama ini dia menyara hidup keluarganya dengan hasil
menjual kelapa. manakala isterinya pula menjual ikan kering.
“Ini merupakan punca mata pencarian saya selama berbelas-belas tahun
yang digunakan untuk memberi makan dan menyekolahkan anak-anak.
Dengan menggunakan kereta sorong saya akan berjalan mencari kelapa di sekitar kampung ini.
“Pekerjaan ini telah menjadi kebiasaan, malah dengan wang inilah yang
digunakan untuk membuat belanja kami sekeluarga. Jika kami berpindah ke
penempatan baru, kerja apa lagi yang boleh saya lakukan. Tambahan pula saya bukanlah daripada orang yang berpelajaran, malah
menaiki motosikal pun saya tak tau,” kata bapa kepada tiga cahaya mata
itu.
Isterinya, Raudah pula berkata, masalah pengangkutan persekolahan anak-anak juga menjadi salah satu kebimbangan baginya.
“Dua anak saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal manakala
seorang lagi bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Datuk.
“Memandangkan suami tidak pandai bawa motosikal, setiap hari sayalah
yang akan menghantar mereka ke sekolah sehingga dua kali perjalanan
setiap pagi. Jika sekarang ini jarak ke sekolah hanya kira-kira satu kilometer dari
rumah, namun apabila berpindah ke penempatan baru, jarak ke sekolah
semakin jauh. Tambahan pula motosikal yang ada ini telah uzur," katanya.
Raudah dengan itu berharap pihak berkuasa mengambil kira nasib penduduk
agar tidak terabai apabila berpindah ke penempatan baru nanti.
Tidak mahu dapat kurang daripada apa yang dimiliki
SESUATU yang amat berat bagi pengusaha kebun sayur kucai di Kampung
Sungai Kapal, Ding Lai Tong, 52, adalah untuk ‘melepaskan’ kebunnya yang
kini mampu mengaut keuntungan sebanyak RM4,000 sebulan untuk memberi
laluan kepada projek mega Pengerang.
Menurut Lai Tong, kebun seluas 15 ekar (6 hektar) itu merupakan antara
kawasan yang turut ‘terkena’ untuk memberi laluan kepada projek
tersebut.
“Saya telah mengusahakan kebun sayur ini sejak 1987 lagi. Kebun ini
umpama nyawa saya di mana tempat untuk saya menyara keluarga. Hasil
kebun saya kini bukan sahaja dijual di dalam daerah ini, malah kami
telah menembusi pasaran Singapura," katanya.
Katanya, sehingga ini dia dan penduduk belum diberitahu bila
perpindahan akan dilakukan termasuklah perbincangan mengenai bayaran
yang belum dijalankan lagi.
“Jika diberi pilihan kami tidak mahu berpindah, tambahan pula saya
mempunyai seramai 10 pekerja terdiri daripada penduduk tempatan di sini.
Jika kebun ini ditutup mereka akan hilang punca pendapatan,” katanya
kepada Sinar Harian.
Katanya, dia mengakui negara mempunyai undang-undang yang membolehkan
tanah tersebut diambil, namun dia berharap kerajaan akan dapat
memberikan pampasan setimpal berikutan pengambilan tanah itu.
“Apa yang kami harapkan kepada pihak berkuasa agar pemberian pampasan
mestilah setimpal. Kita mahu balasan yang diberikan mestilah tidak
kurang dengan apa yang kami miliki sekarang ini," katanya.
Dalam pada itu, salah seorang pekerjanya, Salimah Paiman, 65, yang
tinggal di Kampung Sungai Kapal berkata, dia telah bekerja di kebun
tersebut selama 13 tahun.
“Saya bekerja di sini untuk membantu suami menambahkan pendapatan.
Setelah berbelas-belas tahun bekerja di sini seperti menjadi kebiasaan
buat saya. Jika diikutkan hati kami sememangnya tidak mahu berpindah
namun kami terpaksa akur.
“Namun begitu, kami berdoa agar kemudahan di penempatan baru nanti akan
jauh lebih selesa dan lebih baik daripada sekarang,” kata ibu kepada
lima anak ini dengan penuh mengharap.
No comments:
Post a Comment