Thursday, September 20, 2012

MAHASISWA PERLU JADIKAN NASIB ROHINGYA SATU IKTIBAR


Mahasiswa dinasihatkan menghayati erti kemerdekaan dan kenegaraan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut baru-baru ini dengan membandingkan nasib menimpa etnik Rohingya di Myanmar yang kini terasing di tanah air sendiri. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, etnik itu suatu ketika dahulu mempunyai kerajaan sendiri yang merdeka daripada Mynmar namun Inggeris menjajah mereka sebelum menyerahkan wilayah tersebut kepada Myanmar.


"Kemerdekaan tidak kekal selamanya jika tidak dijaga dengan baik. Kita sendiri pernah dijajah selama ratusan tahun sejak zaman kesultanan Melaka lagi. Lebih sedih, Belanda menyerahkan Tanah Melayu kepada Inggeris, tidak ubah seperti barang dagangan berikutan krisis ekonomi yang menimpa mereka pada zaman sebelum merdeka.

"Namun, sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan berusaha bersungguh-sungguh membangunkan negara yang kini maju dan mampu menyediakan pendidikan dan pengajian bermutu bukan sahaja untuk rakyat tempatan tetapi luar negara," katanya ketika berucap pada Jamuan Hari Raya Mahasiswa UT.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor UTM (Hal Ehwal Mahasiswa), Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin Ninggal.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) kepada UTM selepas ia diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Julai lalu.

Shaziman turut menyifatkan langkah pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sebagai ruang pendedahan politik yang baik untuk mahasiswa dan berharap penuntut universiti tidak melupakan harapan ibu bapa dan kerajaan agar mereka dapat menamatkan pengajian dan berjaya dalam hidup.

"Mereka yang dapat melanjutkan pengajian sangat beruntung kerana ratusan ribu yang memohon setiap tahun. Sebagai Ahli Parlimen Tampin, ribuan surat saya terima daripada ibu dan bapa yang berisi dengan penuh pengharapan terhadap anak mereka.

"Gunakan kelebihan ini dengan baik kerana kehidupan di kampus adalah masa paling indah. Perluaskan kenalan kerana mereka inilah yang akan menjadi rangkaian kerjaya anda selepas tamat pengajian kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...