Sebanyak 82 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Kluang yang disertai kaum India mengadakan perjumpaan dekat sini, kelmarin bagi menyatakan pendirian mereka yang tetap terus menyokong kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi MIC Bahagian Kluang, G Raman berkata, perjumpaan itu dibuat kerana mereka menerima laporan terdapat pihak yang menghasut penduduk India di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkibol agar tidak terus menyokong kerajaan.
“Disebabkan hasutan itu ada di antara masyarakat India sudah mula
mempunyai tanggapan negatif terhadap kerajaan dan tidak mahu menyokong
BN. Berikutan itu, satu perjumpaan diadakan pada hari ini (kelmarin) bagi
menjelaskan kepada semua bahawa hasutan yang ditaburkan itu adalah tidak
benar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan dengan NGO daerah Kluang di Dewan Tasek Kluang, dekat sini, malam kelmarin.
Turut serta dalam majlis perjumpaan tersebut, Ketua Wanita Umno Negeri
Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain merangkap Ketua Wanita Umno
Bahagian Kluang dan Ketua Wanita MIC bahagian Kluang, S Saraswaty.
Dalam pada itu, Raman berkata, masyarakat India di Kluang bertuah
kerana Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah banyak membantu
menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Katanya, bantuan yang terbaru adalah kelulusan padang sekolah bagi
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Haji Manan yang mana sebelum ini
sekolah tersebut tidak mempunyai padang sendiri.
“Malah, tidak termasuk masalah kedai, sekolah, kuil dan sebagainya
turut diselesaikan oleh Menteri Besar bersama-sama Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Mahkota, Md Jais Sarday. Jadi tidak timbul isu untuk tidak terus menyokong kerajaan kerana
kerajaan banyak membantu membangunkan masyarakat India malah, semua
masalah yang dihadapi oleh kami sentiasa diambil tindakan segera,”
katanya.
Raman turut berkata, MIC bahagian Kluang bersama-sama NGO Parlimen
Kluang juga sentiasa menyokong kepimpinan Pengerusi Jawatankuasa
Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, M Asojan yang
sentiasa membela nasib kaum India di Johor.
Beliau berkata, tanpa pemimpin seperti M Asojan maka kaum India tidak
akan terbela dan tidak akan mengecapi kesenangan seperti sekarang.
“Kami menyokong penuh Asojan kerana beliau banyak membantu kaum India
dan mengekalkan hak kaum India di negeri Johor. Di samping itu, dengan
perjumpaan ini ianya bertujuan memberi penjelasan kepada wakil-wakil
pertubuhan NGO supaya menyalurkan maklumat yang tepat kepada anak buah
agar terus kekal dengan kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment