Perdana Menteri menegaskan bahawa masa depan negara ini adalah terlalu
besar nilainya untuk diperjudikan dan adalah sesuatu yang disifatkan
sebagai 'pantang' untuk menyerahkan negara ini kepada pembangkang.
Berucap kepada perwakilan Umno Johor, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
juga Presiden Umno mahu setiap anggota Umno menggembleng tenaga dan
kekuatan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada dalam pilihan
raya umum ke-13 nanti.
"Kita tidak boleh menggadai masa depan, masa depan kita terlalu besar
nilainya...Di sinilah (Johor) lahirnya Umno, banyaknya jasa kepada
negara. Pantang kita serah negara ini kepada mereka (pembangkang). Allah S.W.T mencintai kita jikalau kita satu kesatuan dan InsyaAllah
Allah akan memberikan kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional,"
katanya di sini, Sabtu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan persidangan
berkelompok empat bahagian Umno Negeri Johor di Persada Johor.
Menyifatkan pembangkang sebagai 'kosong kredibiliti', Perdana Menteri
berkata mereka tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan negara ini,
tetapi hanya tahu mengutuk, menghasut dan menjanjikan perkara yang
'karut-marut' yang tidak masuk akal.
Laporan dalam sebuah akhbar hari ini katanya, turut memetik pandangan
penganalisis pro-pembangkang pada sebuah majlis yang diadakan di sebuah
gereja di Petaling Jaya yang memuji langkah transformasi oleh kerajaan.
Najib berkata penganalisis itu bukan sahaja memuji langkah perubahan dan
transformasi yang dilaksanakan kerajaan, tetapi turut mengkritik
pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak berkredibiliti.
"Pembangkang tidak ada kredibiliti, mereka bukan sahaja tidak mempunyai
simbol yang sama, tetapi dasar-dasar mereka juga berlainan dengan
bermacam-macam kemelut yang dihadapi termasuk berkenaan hukum Hudud,"
katanya.
Malah kata Najib, pembangkang yang sering melaungkan slogan 'Jalan Ke
Putrajaya', sehingga kini tidak mempunyai Kabinet Bayangan yang selaras
dengan model demokrasi berparlimen.
"Mereka (pembangkang) mesti bermula dengan Shadow Cabinet (kabinet
bayangan) seperti dalam sistem demokrasi model Westminister seperti di
Great Britain.
"Di Malaysia mana dia (shadow cabinet), ia adalah kerana mereka takut.
Takut nak beri (Lim) Kit Siang apa (jawatan), menteri kewangan ke,
Karpal Singh ke untuk undang-undang dan Mat Sabu nak bagi apa, menteri
wanita," katanya.
Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) sebaliknya menjuarai perubahan dan transformasi yang berlaku di negara ini.
Walaupun dalam sistem demokrasi berparlimen, kewujudan pembangkang dalam
bilangan yang kecil adalah baik, mereka mestilah memainkan peranan
dengan konstruktif dan bukan destruktif, katanya.
Beliau memberi contoh Felda dan projek minyak dan gas di Pengerang, yang
cuba dinafikan pembangkang sebagai projek yang baik untuk rakyat
semata-mata atas kepentingan politik.
Dalam isu Felda, Najib berkata pembangkang melemparkan pelbagai dakwaan
terhadap Felda termasuk mengatakan ia bankrap, walaupun secara
realitinya Felda berjaya disenarai di Bursa KL.
"Jika Felda bankrap, bagaimana ia mampu memberi RM15,000 kepada
peneroka, isteri dan anak peneroka," katanya sambil memberitahu bahawa
pembangkang juga cuba 'pusing' usaha kerajaan membangunkan industri
minyak dan gas di Pengerang.
Najib berkata BN memberikan masa depan yang penuh dengan keyakinan
kepada rakyat, sarat dengan peluang dan kehidupan yang lebih baik
berbanding semalam.
"Sebahagian besar rakyat Malaysia inginkan masa depan yang baik, masa
depan yang bukan sarat dengan ketidakpastian, bukan masa depan yang
terlalu banyak risiko, tetapi masa depan yang penuh dengan keyakinan dan
di bawah pimpinan BN, hari esok adalah sarat dengan keyakinan lebih
baik daripada hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment