Barisan Nasional (BN) Johor bertekad mempertahankan 26 kerusi parlimen
di negeri ini yang sekaligus memberi sumber kekuatan kepada BN untuk
mengekalkan perkhidmatan kepada rakyat. Menegaskan demikian, pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman berkata usaha
sudah dilakukan dengan menggerakkan tenaga di peringkat akar umbi.
Ini termasuk menggabungkan jentera parti komponen di 922 Pusat Daerah
Mengundi (PDM) dan meletakkan lebih 160,000 anggota parti bersiap siaga
di bawah pelbagai portfolio di pusat-pusat daerah mengundi.
"Denyut nadi keyakinan sudah pun dirasai di setiap peti undi. Hampir
separuh daripada 1.5 juta pengundi di negeri ini adalah anggota parti
BN. Inilah sumber asas kekuatan kita.
"BN Johor menaruh keyakinan yang tinggi untuk meraih sokongan yang kuat
di semua kerusi parlimen melalui sokongan asas anggota BN dan
diperkukuhkan pula oleh perpaduan Melayu yang utuh di segenap ceruk
negeri," katanya.
Beliau berkata BN Johor yakin rakyat negeri ini mampu menilai masa depan
agama, bangsa dan tanah air yang tidak boleh diserahkan kepada pakatan
yang palsu serta tidak rela masa depan anak cucu mereka diperjudikan
kepada suatu pakatan yang tidak sepakat perjuangannya.
Menurut Abdul Ghani sokongan rakyat Johor terhadap BN kukuh sejak dahulu
lagi apabila memenangi 232 daripada 234 kerusi parlimen yang
dipertandingkan sejak 1959.
Katanya, rekod itu mencerminkan Johor merupakan kubu kuat BN yang bukan
datang dengan sendirinya tetapi menerusi perpaduan, kegiatan bersama
rakyat sepanjang tahun, kerja keras dalam setiap pilihan raya serta
perkhidmatan yang amat meyakinkan rakyat.
No comments:
Post a Comment