Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) mengecam keras
penerbitan filem anti Islam Innocence of Muslims yang menghina Nabi
Muhammad SAW diedarkan di negara ini. Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, perbuatan menghina Rasulullah SAW
dalam apa jua keadaan tidak boleh diterima dan merupakan satu kesalahan
besar bagi umat Islam serta mesti ditentang dan diperangi
habis-habisan.
Menurutnya, perbuatan itu berniat jahat untuk mewujudkan pertembungan
dan pergaduhan antara agama yang akhirnya membawa kesan buruk kepada
masyarakat dunia.
“Kami anggap filem tersebut bertujuan memprovokasi masyarakat
antarabangsa mengenai peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai kasanova dan
Islam adalah barah. Kenyataan seperti ini adalah biadab dan langsung tidak boleh
diterima,” katanya.
A Rahman berkata, terdapat suatu manifestasi ideologi politik secara
halus yang sengaja dilakukan oleh kelompok Yahudi, termasuklah
penerbitan filem yang mencetuskan kemarahan rakyat Islam di serata
dunia.
“Kami menyeru umat Islam sedunia bangun bersatu menegakkan syiar Islam
agar jangan berpecah-belah, sebaliknya kembali merapatkan saf dan bangun
menentang sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat kita. Kita juga perlu sedar bahawa elemen subversif yang telah menyerap
masuk ke tanah air kita melalui mubaligh Kristian yang sedang rancak
mengkristiankan anak muda Islam di negara ini,” katanya.
Kemuncak kemarahan ahli PPPMM berakhir dengan tindakan memijak dan
membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel sebagai bantahan keras
penerbitan filem menghina Nabi Muhammad SAW. Dalam pada itu, lebih 500 orang daripada 30 badan bukan kerajaan (NGO)
menyertai perarakan Jalur Gemilang dari perkarangan pejabat Majlis
Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ke Bukit Timbalan.
Perarakan itu dilepaskan Datuk Bandar MBJB, Burhan Amin di pekarangan
MBJB dan disambut di Bukit Timbalan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan
Sri Shahrir Abd Samad. Pengarah Program, Osmirizan Melan berkata, program itu diadakan untuk
menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negara, agama dan bangsa yang
dicintai. Menurutnya, penyertaan secara sukarela daripada pelbagai lapisan
peringkat umur menunjukkan kerjasama dan perjuangan yang seimbang untuk
mengekalkan keamanan negara.
“Kita ingin terjemahkan kecintaan kepada negara melalui perbuatan indah
seperti ini, bukannya sekadar melalui laungan atau percakapan
semata-mata. Alhamdulillah walaupun ada insiden yang diduga semasa dalam perarakan, kumpulan kita selamat sampai,” katanya.
No comments:
Post a Comment