Friday, November 9, 2012

Penantian 30 tahun geran tanah berbaloi


Berkat usaha dan penat lelah selama 30 tahun, akhirnya kami rasakan cukup berbaloi setelah menerima geran tanah sawah ini,” kata salah seorang penerima, Rohani Masri, 58. Beliau yang juga salah seorang daripada 175 penerima geran tanah berkenaan berkata, dengan adanya geran tersebut, ia menjadi galakan buatnya melipatgandakan hasil tuaian.

“Kawasan sawah ini, yang dikenali sebagai Sawah Sagil, telah saya usahakan lebih kurang 30 tahun lamanya, dan sepanjang tempoh itu saya selalu berasa bimbang dengan statusnya.

“Alhamdulillah kini semuanya sudah selesai dan saya anak beranak rasa lapang dada dan gembira serta terharu apabila tanah ini mempunyai geran yang sah miliknya kepada kami.

“Tanah yang diusahakan selama ini sah menjadi milik kami sekarang. Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan, kerana membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kelompok Sawah Sagil, Abdul Hadi Jaaffar berkata, pemberian geran itu membabitkan 170 hektar tanah terlibat dalam penanaman sawah padi di kampung berkenaan.

“Kita berharap dengan pemberian geran tanah ini, pesawah di kampung ini mengekalkan penanaman padi dan meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, beliau berharap dengan pemberian hak milik tanah ini, pesawah mendapat galakan untuk lebih rajin lagi, memandangkan sawah ini satu-satunya yang berada di Batu Pahat.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan peka terhadap masalah yang membabitkan rakyat dan sedaya upaya kita akan selesaikan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hak milik geran tanah di Dataran Tuanku, Kampung Sawah Sagil, dekat sini, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...