Friday, December 7, 2012

JKM BANDAR TENGARA HULUR BANTUAN


KULAIJAYA - Sebanyak 15 warga emas, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) di Bandar Tenggara di sini, menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Maal Hijrah oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Masyarakat Bandar Tenggara (JKKMBT), baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan sendiri Penaung JKKMBT, Datuk Baderi Dasuki yang turut memberikan pemberian peribadi kepada kesemua penerima dan memuji inisiatif itu dalam membantu masyarakat.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti berkata, sumbangan itu harus dicontohi demi kebaikan masyarakat dan penduduk di sesuatu kawasan proaktif dalam menghulurkan bantuan adalah digalakkan dalam Islam.

"Semoga dengan sumbangan ini akan dapat menceriakan dan meringankan beban mereka. Sempena dengan sambutan Maal Hijrah ini, diharap sumbangan sebegini dapat mengubah sedikit sebanyak kehidupan mereka," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Yang turut hadir, Pengurus Kerajaan Tempatan Lembaga Johor Tenggara (Kejora), Hamzah Esa dan Naib Pengerusi JKKMBT, Amir Kasman.

Sambutan Maal Hijrah selama dua hari anjuran Kejora itu turut diisi pelbagai acara seperti pertandingan gubahan, memasak, kompang, mewarna, futsal, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran dan jualan buku.

Selain itu forum perdana turut diadakan di pekarangan Masjid Jamek Al-Husna Bandar Tenggara dengan tema Wasatiyyah Tunggak Kesatuan Ummah melibatkan Kadi Daerah Kulaijaya, Mohd. Fahmi Abd. Samad; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Negeri Pahang, Izzuddin Abdul Mutalib dan Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim.

Hamzah ketika ditemui berkata, sumbangan itu diharap akan membolehkan mereka yang lebih bernasib baik menyelami kehidupan dan permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.

"Sumbangan diagih berdasarkan senarai nama yang dikemukakan JKKMBT. Kita merancang program pemberian sumbangan ini setiap tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...