Friday, December 7, 2012

BANTERAS RAKYAT ASING BELI RON 95


SEJAK kebelakangan ini saya dapati semakin berleluasa penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan negara jiran. Sebagai contoh, sebuah stesen minyak di Taman Impian Emas, Johor Bahru hampir setiap malam dikunjungi oleh kereta-kereta dari negara jiran yang mengisi petrol RON 95 atau pun membeli petrol tersebut dengan mengisinya dalam tong-tong yang diletakkan di dalam bonet kereta. 


Walaupun tidak mengisi secara langsung ke dalam kenderaan mereka, saya percaya ia untuk digunakan atau dijual kepada pihak ketiga.

Pihak stesen minyak juga bagi saya sangat tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan negara jiran walaupun peraturan sememangnya jelas tertera di setiap pam dan kaunter.

Satu lagi kaedah yang digunakan ialah dengan menggunakan kereta yang bernombor pendaftaran Malaysia tetapi membeli petrol secara banyak di dalam tong yang dibawa dalam kereta.

Sebagai rakyat jati negeri Johor, saya sangat berharap pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau dan mengambil tindakan ke atas pengusaha stesen minyak yang menjalankan perniagaan seperti ini. 

Bagi saya, mereka ini tiada semangat patriotik dan langkah kerajaan untuk menempatkan anggota Rela di stesen-stesen minyak perlu diperluaskan ke Johor Bahru. 

Kita tidak mahu rakyat negara lain dengan sewenang-wenangnya menumpang subsidi yang berbilion ringgit nilainya yang telah dibelanjakan oleh kerajaan kepada rakyatnya. Bertindaklah segera!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...