Friday, December 7, 2012

RAPID PENGERANG, ANGGOTA KESELAMATAN DITAMBAH


PENGERANG - Tiga balai polis yang terletak berhampiran kawasan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), dekat sini akan menerima penambahan anggota dalam usaha berhadapan dengan pembangunan projek mega tersebut. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, seramai 21 anggota baru termasuk dua pegawai penyiasat berpangkat inspektor dan sarjan akan ditempatkan di Balai Polis Bandar Penawar, Pengerang serta Sungai Rengit.

Menurutnya, inisiatif itu antara langkah polis untuk memastikan keselamatan pekerja dan ketenteraman penduduk setempat terjamin.

“Kita telah ambil kira perkembangan aktiviti di kawasan berhampiran projek mega ini. Ini adalah langkah awal untuk pastikan penduduk tidak merasa bimbang ekoran projek pembangunan ini.

“Malah beberapa perubahan untuk ‘upgrade’ ketua balai turut dilakukan. Di mana jika dahulu Ketua Balai Pengerang berpangkat sarjan, kini ditukar kepada inspektor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama pihak pengurusan dan ketua pekerja Dialog Group di Balai Polis Sungai Rengit, kelmarin.

Beliau berkata, polis Johor juga telah mendapat mandat untuk penggunaan dua platun Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menjalankan kerja pencegahan jenayah di kawasan tersebut.

Katanya, pihaknya turut melakukan penambahan strategi dengan meningkatkan pengawasan, rondaan, operasi serta tugasan lain anggota polis di sekitar kawasan projek mega itu.

“Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan pekerja-pekerja yang terlibat dengan projek ini bagi menerangkan mengenai budaya di sini sekaligus mengelakkan timbulnya masalah.

“Seperti yang kita maklum, pembangunan projek mega ini akan menerima kemasukan puluhan ribu pekerja daripada dalam dan luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...