Warga enam Felda di Parlimen Sembrong dekat sini tersenyum lebar apabila
pembayaran durian runtuh sebanyak RM5,000 sudah diagihkan kepada ketua
peneroka masing-masing, bermula Rabu lalu. Bagi Felda Ulu Dengar, seramai 299 ketua peneroka telah menerima
pembayaran tersebut yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Kahang, R Vidyananthan.
Vidyananthan berkata, wang RM5,000 itu akan dibayar secara berperingkat kepada peneroka.
Menurutnya, minggu ini wang tersebut akan dibayar kepada ketua peneroka terlebih dahulu dan kemudiannya akan disusuli oleh isteri peneroka dan seterusnya generasi kedua.
“Pembayaran durian runtuh ini menunjukkan bahawa kerajaan menepati janjinya dan warga peneroka harus berterima kasih kepada kerajaan.
“Durian runtuh ini adalah untuk warga peneroka dan ianya adalah satu pengiktirafan kerajaan kepada warga peneroka yang selama ini bersusah payah memajukan dan membangunkan kawasan Felda sehingga menjadi maju seperti sekarang ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Durian Runtuh yang diadakan di pekarangan Masjid Felda Ulu Dengar, di sini, Rabu lalu.
Vidyananthan berkata, dengan pembayaran yang diberikan itu diharap warga peneroka akan kekal menyokong kerajaan yang memerintah sekarang ini.
Sementara itu, Pengurus Felda Ulu Dengar, Abdul Wahab Salman berkata, selaku warga Felda beliau amat bersyukur dan berterima kasih di atas pemberian yang diberikan oleh kerajaan kepada semua peneroka.
Beliau berkata, bukan durian runtuh sahaja yang diberikan kerajaan, malah dikurniakan juga dengan keuntungan daripada saham yang akan diperoleh peneroka pada setiap tahun.
“Saya selaku pengurus Felda Ulu Dengar amat gembira di atas pembayaran durian runtuh ini kerana pada minggu ini pembayaran fasa pertama baru bermula dan ianya akan disusuli dengan fasa kedua dan ketiga.
“Walau bagaimanapun, jika terdapat masalah yang timbul dalam cek yang diterima boleh terus pergi ke pejabat Felda untuk diperbetulkan,” katanya.
Bagi penerima durian runtuh, Rakidin Saripan, 67, dengan penerimaan cek bernilai RM5,000 itu menunjukkan bahawa kerajaan menunaikan janjinya dan merasakan durian runtuh yang diberikan amat berbaloi.
“Alhamdulillah, saya mendapat durian runtuh ini kerana ianya amat dinanti-nanti oleh semua warga Felda dan kami tidak sabar untuk menerimanya.
“Dengan wang yang diterima ini saya akan simpan untuk menampung anak saya yang masih bersekolah dan selebihnya saya akan simpan untuk digunakan bila perlu nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment