Sebuah buku mengenai kisah hidup dan perjuangan ayah kepada Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjudul Tuan Guru Haji
Mohd Yassin:Tokoh Ilmuwan Islam Terbilang telah dilancarkan oleh Mufti
Johor, Datuk Tahrir Shamsudin, di Masjid Jamek di sini, semalam. Lebih menariknya lagi apabila pelancaran buku terbitan Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), disaksikan sendiri Muhyiddin dan
isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Penerbitan buku itu sempena memperingati jasa dan sumbangan Mohd Yassin Muhammad sebagai tokoh ulama, pemikir, pendidik, ahli sufi, bapa mithali dan pendakwah tersohor di Johor. Mohd Yassin juga merupakan pengasas dua buah institusi pendidikan iaitu Madrasah As-Saadiah yang beraliran agama dan Sekolah Menengah Mohd. Yassin (beraliran akademik).
Buku itu ditulis oleh Abd Latiff Juffri @ Al-Jufri dan Amad Bahri Mardi. Anak Mohd Yassin yang juga abang Muhyiddin, iaitu Abdul Aziz, 70, berkata, beliau bersyukur kerana riwayat hidup, perjuangan dan amanat bapanya dibukukan.
Menurutnya, bapanya seorang yang gigih dalam berdakwah, menyebarkan ilmu dan memberi kesedaran kepada orang Melayu kepentingan ilmu pengetahuan dan perlunya mengubah minda serta pemikiran.
“Usaha dan perjuangan Mohd Yassin dalam bidang pendidikan kini diwarisi Muhyiddin yang kini menjadi Menteri Pelajaran dan sedang melakukan transformasi pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Abd Latif berkata, salah satu kandungan menarik buku tersebut ialah mengenai ramalan Mohd. Yassin bahawa salah seorang anaknya satu hari nanti akan menjadi pemimpin besar negara.
Mohd Yassin Muhammad lahir pada 1899 di Tanjung Bidara, Melaka dan meninggal dunia pada 1975 pada usia 76 tahun, meninggalkan empat isteri dan 47 anak.
No comments:
Post a Comment