Pemuda UMNO Gelang Patah tidak menolak usul
perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ia tidak bermakna jika
pembangkang terus bermain dengan persepsi fitnah. Ketuanya, Noorisham Ismail berkata, usul akhir yang dicadangkan oleh
Dr. Maszlee Malik sebagai moderator dalam program debat 'Pemansuhan
PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi' itu masih terlalu awal kerana
perdebatan yang disiarkan secara langsung kelmarin banyak menyimpang
daripada tajuk.
"Kita lihat sendiri debat yang disiarkan di televisyen semalam,
daripada isu PTPTN dengan sengaja dipesong oleh Rafizi (Pengarah
Strategi PKR, Mohd. Rafizi Ramli) mengaitkannya dengan National Feedlot
Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp.) dan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta kes bekas Pengerusi
Eksekutif Malaysian Airline System Bhd., (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli
dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta).
"Secara tidak langsung juga dia bermain dengan persepsi walhal kes
berkaitan NFCorp. masih dibicara di mahkamah dan isu Tajudin juga
selesai di luar mahkamah. Inilah masalah pembangkang, seolah-olah
mendahului mahkamah dengan terlebih dulu menjatuhkan hukum jika ia tidak
memihak kepada mereka," katanya.
Debat tersebut diadakan secara langsung dari Auditorium Kompleks
Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam yang disiarkan secara langsung
menerusi saluran Astro Awani dan Bernama Radio24 pada pukul 10 malam
kelmarin. Noorisham tidak menolak bahawa rakyat Malaysia semakin matang
berpolitik tetapi masih banyak menggunakan emosi, selain tidak mencapai
kematangan seperti mana di Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
"Mereka boleh berdebat tetapi Republikan dan Demokrat di AS, Buruh
dan Konservatif di Britain masing-masing mampu mentadbir kerajaan.
Pakatan pembangkang di negara kita sebaliknya, janji yang ditabur ketika
pilihan raya umum lalu pun masih gagal dilaksanakan di negeri-negeri
yang mereka menang," katanya.
No comments:
Post a Comment