JIKA minggu lalu heboh mengenai tindakan DAP tidak menyambung tugas
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Ahli Dewan Negara gara-gara tidak
sehaluan mengenai perhimpunan Bersih 3.0, minggu ini ia lebih panas
apabila Naib Pengerusi DAP itu mengumumkan keluar daripada parti.
Dalam satu wawancara secara langsung bersama sebuah stesen TV
beberapa hari lalu, Tunku Aziz menyatakan pendiriannya untuk melepaskan
jawatan dalam DAP dan meninggalkan parti itu kerana merasakan pandangan
beliau tidak dihargai pucuk pimpinan parti.
Sehubungan itu, ramai kalangan penulis blog propembangkang telah
melabelkan beliau dengan pelbagai gelaran buruk, sementara blog-blog
pemimpin DAP tidak banyak memberi komentar.
Mengulas isu berkenaan, Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya www.akadirjasin.com menganggap Tunku Aziz antara orang baik yang terpedaya dengan keindahan dunia politik tanah air.
Katanya, Tunku Aziz seperti juga Dr. Chandra Muzaffar adalah antara
orang baik yang cuba berbuat perkara yang lebih baik dengan menyertai
parti politik.
Bagaimanapun, akhirnya beliau sedar bahawa idealisme demokrasi damai
dan bertamadun yang ingin beliau perjuangkan melalui DAP tiada tempat
dalam sebuah parti yang cenderung kepada pencetusan gelora.
Jadi, perbezaan pandangan tentang Bersih 3.0 menjadi kemuncak
pertembungan idealisme dan ketamadunan antara Tunku Aziz dan ideologi
sebenar DAP yang membawa pengunduran pengasas Transparency International
Malaysia itu.
Menariknya, Helen Ang (helenang.wordpress.com) melihat
pengunduran Tunku Aziz memberikan tamparan hebat kepada DAP yang
sekarang berusaha untuk mengambil hati orang Melayu demi meraih undi
kaum itu pada pilihan raya umum akan datang.
Ini jelas apabila DAP mula menguar-uarkan usaha membela orang Melayu
serta membawa masuk bekas-bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu bagi
menunjukkan bahawa DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum.
Bagaimanapun, kata beliau, tindakan Tunku Aziz jelas menjejaskan
keyakinan orang ramai tentang kemampuan DAP untuk berlaku adil terhadap
orang Melayu.
"Sekarang (ini) orang Melayu dapat melihat dengan biji mata sendiri
bagaimana pemimpin Melayu DAP pun tidak lepas dimangsakan oleh hatchet men yang menyokong parti tersebut," kata Helen.
Azrinizam Ibrahim (anginperubahan.blogspot.com) turut melihat tindakan Tunku Aziz memberikan tamparan kepada DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, DAP yang selama ini menunjukkan mereka adalah sebuah parti
yang demokratik tetapi tidak boleh menerima pandangan pemimpin lain yang
bertentangan dengan pandangan parti itu.
"Ini bermakna prinsip yang diperjuangkan oleh DAP bukan lagi untuk
menjadikan negara ini lebih demokratik tetapi sebenarnya mengamalkan
corak kuku besi dan cauvinis. DAP akan kehilangan ramai lagi ahlinya
ekoran tindakan ganas yang dilakukan semasa perhimpunan Bersih 3.0,"
katanya.
Bagaimanapun, Aspan Alias (aspanaliasnet.blogspot.com)
cuba mengendurkan keadaan dengan berkata perselisihan antara Tunku Aziz
dan DAP bukan pertentangan antara parti itu dengan orang Melayu
melainkan perselisihan Naib Pengerusi DAP itu dan partinya.
Seperti biasa, beliau menyalahkan UMNO konon memperbesarkan isu
tersebut sedangkan rakyat dengan jelas dapat melihat sikap sebenar pucuk
pimpinan DAP sehingga mendorong Tunku Aziz meninggalkan parti itu.
No comments:
Post a Comment