Saturday, June 2, 2012

5,000 peluang kerja ditawar dalam Karnival Kerjaya Tenggara


Kira kira 5,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Tenggara yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Taman Anggerik Bandar Tenggara. Pengerusinya, Datuk Baderi Dasuki berkata, pelbagai peluang kerjaya daripada agensi kerajaan dan swasta disediakan khususnya buat golongan muda di sekitar daerah ini.

“Sebanyak 17 agensi kerajaan akan mengambil bahagian, di mana kita turut tendapat penyertaan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), serta syarikat yang terlibat dengan projek pembinaan pusat Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

“Kita turut menjemput 30 syarikat swasta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam karnival ini yang bakal memberikan pelbagai peluang pekerjaan buat  golongan muda khususnya,” katanya kepada media pada majlis pelancaran karnival tersebut, baru-baru ini.

Menurut Baderi, karnival anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Panti bersama Parlimen Tenggara itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat setempat.

“Selain fokus kepada peluang pekerjaan, pelbagai aktiviti lain turut disediakan buat pengunjung antaranya, persembahan kebudayaan, forum perdana, pertandingan masakan serta pelbagai lagi. “Malah kita juga menjemput artis jemputan seperti Jamal Abdillah untuk memeriahkan karnival ini.

Katanya, majlis penutup karnival tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor. “Kita menyeru kepada semua golongan muda dan  masyarakat untuk keluar bersama- sama merebut peluang agar memperoleh faedah sempena karnival yang dianjurkan selama tiga hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...