Wednesday, June 6, 2012

Hampir 50 peratus golongan belia Johor Belum Daftar



Hampir 50 peratus daripada 429,796 golongan belia Johor dilaporkan masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi. Angka yanmg diberikan itu jelas menunjukkan sikap golongan berkenaan yang tidak mengambil berat tentang hak mereka sebagai warganegara. Yang lebih mengejutkan ada segelintir di kalangan mereka apabila didekati mengatakan mereka tidak sedar mengenai perkara tersebut dan tidak kurang juga ada yang beranggapan mengundi itu tidak penting.


Menurut rekod sehingga 20 Mac lepas, jumlah rakyat Johor yang layak mengundi ialah 1,955,240 orang namun hanya 1,525,444 orang berdaftar dengan SPR. Ini merupakan satu perkembangan yang perlu di pandang serius oleh semua pihak terutama sayap-sayap muda di dalam parti komponen Barisan Nasional.

Program-program berunsur penerangan perlu digerakkan bagi mewujudkan kefahaman di kalangan golongan muda untuk lebih peka akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Komitmen parti politik yang memiliki jaringan akar umbi yang lebih menyeluruh, adalah perlubagi menggerakkan seluruh tenaga dan sumber untuk memastikan golongan ini mendaftar sebagai pengundi. 

Kesibukan tidak harus dijadikan alasan kerana proses mendaftar bukannya rumit. Hanya dengan membawa kad pengenalan, maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda diambil pegawai bertugas. Adakah sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita tidak bersedia untuk mengorbankan sedikit masa walhal ia penting untuk masa depan kita sendiri dan anak bangsa kita?

Golongan muda ini perlu sedar akan kekuatan mereka. Jika mereka ikut serta dalam pemilihan calon melalui pilihan raya umum atau negeri, mereka sebenarnya dapat mengubah keadaan. Para pemimpin sebenarnya sudah sedar akan pengaruh dan kesan kehadiran golongan ini. Justeru, golongan muda perlu memanfaatkan hak mengundi mereka dalam pilihan raya.

Jika semua mereka mendaftar, bayangkan kesannya terhadap keputusan pilihan raya akan datang. Mereka tidak harus berpeluk tubuh dan membiarkan orang lain menentukan nasib rakyat di negeri ini. Mereka perlu ingat akan kata-kata Presiden Indonesia, Soekarno: “Berilah aku sepuluh pemuda, akan kugoncang dunia.” Kata-kata ini menggambarkan kuasa dan pengaruh mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa golongan muda merupakan penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Jadi, parti politik bertanggungjawab untuk mendekati mereka secara bersungguh-sungguh melalui pelbagai mekanisme, strategi dan pendekatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...