SEGOLONGAN rakyat Malaysia berura-ura untuk menukar rejim atau
merobah pemerintah negara menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tanpa
menyedari bahawa implikasi tindakan ini adalah serius dan negatif. Ini kerana rakyat, wilayah dan pemerintahan adalah jasad lahiriah
kepada sesebuah negara. Ketiga-tiganya berkait rapat dan saling
mengukuhkan satu sama lain. Ketiga-tiganya adalah rujukan kepada
keselamatan negara.
Seperti saya huraikan dalam tulisan baru-baru ini, jika satu daripada komponen ini rosak, maka akan binasalah keseluruhannya. Oleh sebab itulah komponen fizikal ini sentiasa jadi sasaran ancaman
musuh luaran dan dalaman, baik kuasa neoimperialis atau talibarutnya.
Demikian rumusan pakar-pakar keselamatan nasional di negara majmuk dan
membangun seperti Malaysia, dari dulu sampai ke hari ini.
Lantas kita harus insaf dan waspada. Istilah regime change
atau pertukaran pemerintahan adalah senjata halus neoimperialis untuk
menghasut rakyat di negara sasarannya supaya menumbangkan kerajaannya
sendiri.Contoh-contohnya adalah apa yang telah terjadi di Iraq dan kini di
beberapa negara Asia Barat dan Afrika Utara yang sedang bergolak dan
bermandi darah. Tangan-tangan ghaib Barat adalah dalangnya.
Rakyat Iraq dirasuk idea pertukaran rejim. Tetapi, Saddam Hussein
mati di tali gantung, Iraq masih terus dijajah Amerika Syarikat (AS)
sejak tahun 2003 hingga sekarang - 9 tahun lamanya. Pertukaran rejim di Iraq, kononnya membawa kebahagian. Realitinya,
pertukaran rejim ini memunculkan penderitaan yang berterusan dan
kesengsaraan yang tiada hentinya. Madu dicita, racun mendatang!
Inilah hakikatnya propaganda pertukaran rejim yang disemarakkan AS selaku adikuasa atau superpower
sejagat sejak era pasca perang dingin dan pasca 11 September (911).
Istilah ini bersifat emotif dan merangsang keghairahan, kononnya untuk
kebaikan. Namun ia adalah tindakan ke arah kebinasaan.
Rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan dakyah pertukaran rejim yang
disemarakkan oleh pihak pembangkang perlu sedar. Tindakan ini memang
demokratik. Namun apa faedahnya menggunakan kuasa demokrasi menerusi
PRU-13 semata-mata untuk menempah kesengsaraan dan penderitaan?
Hakikatnya, Malaysia bukannya AS. Malaysia negara kecil, majmuk dan
membangun. AS negara besar, mempunyai tenteranya di serata dunia, armada
lautnya adalah yang terbesar di serata alam. Negara membangun dan majmuk seperti Malaysia perlu mempunyai rakyat
yang berani dan mampu untuk menangkis keruntuhan sosio-ekonomi dan
kebinasaan politik. Bukan rakyat yang terpesona dengan dakyah Barat yang
membawa kehancuran.
Jika rakyat di negara ini menjadi boneka Barat, Malaysia akan jadi
negara lemah yang mudah dipontang-pantingkan oleh rentak politik dan
corak geopolitik Barat di Asia Tenggara. Namun jika rakyat merupakan kuasa yang pintar menolak dakyah Barat,
Malaysia akan jadi lebih gagah dan mampu mengukuhkan kuasa relatifnya
dalam sistem antarabangsa.
Inilah cita-cita murni Perdana Menteri Malaysia, termasuk Tunku Abdul
Rahman Putra, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir
Mohamad dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka mahukan rakyat yang
pintar berdiplomasi dan bijak membaca kilat dalam kilau.
Dalam istilah keselamatan, para pemimpin ini mahukan rakyat Malaysia
yang boleh dijadikan benteng kekuatan, bukannya menjadi lawang (pintu)
keruntuhan negara atau talibarut neoimperialis.
Dalam istilah Hubungan Antarabangsa, para pemimpin ini mahukan rakyat Malaysia yang mempunyai world-view yang
luas, tetapi insaf supaya tidak menjadi warganegara kosmopolitan yang
semangat kebangsaannya cacamarba, terumbang-ambing di awang-awangan.
Sebagai individu seangkatan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak era
1969, saya akui beliau seorang pemidato yang karismatik. Namun saya
tidak pasti jika beliau juga wajar disokong untuk memimpin kita semua
dengan selamat dan sejahtera.
Gerak dan langkah beliau dulu lain, kini pun lain. Oleh itu, jangan
kita menganut resmi Lebai Malang dalam politik - yang dikejar tak dapat,
yang dikendong keciciran! Jika tidak, mana mungkin Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, selaku
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sanggup mengosongkan Kerusi
Parlimen Permatang Pauh kepada Anwar, tidak rela memberikan kerusi
presiden parti kepada suaminya.
Fikir dan halusilah mengapa penyerahan kerusi presiden daripada
isteri kepada suami tidak terjadi dalam PKR. Apakah rahsia besar di
sebalik keengganan ini. Adakah pertukaran rejim dalam PKR sesuatu yang
merugikan?
Oleh itu, rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan pujuk rayu supaya melakukan regime change menerusi PRU-13, mereka perlu bertanya, mengapakah Wan Azizah tidak rela melakukan regime change dalam PKR, walaupun sesudah Anwar bebas daripada tahanan?
Kesimpulannya, pertukaran rejim atau perubahan pemerintahan memang
demokratik. Namun dalam konteks Malaysia yang majmuk dan membangun,
tindakan ini lebih membawa kerugian daripada manfaat. Malaysia boleh
jadi lemah dan mudah didominasikan oleh adikuasa jagat.
Hakikatnya demikian kerana regime change adalah istilah
neoimperialis. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk
mempertahankan keselamatan rejim kerana tindakan ini menjamin
keselamatan negara dan keselamatan kita semua.
No comments:
Post a Comment