![]() |
Menteri Besar Johor |
Pencapaian Johor menarik pelaburan ke negeri ini tidak boleh
dibandingkan dengan negeri lain, kerana ia melibatkan bidang berbeza dan
juga telah diasaskan sejak dulu lagi oleh Kerajaan Persekutuan secara
holistik, bukannya meminggirkan negeri tertentu. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perangkaan pelaburan
itu juga tidak boleh dinilai mengikut tahun-tahun tertentu kerana
kemungkinan pada tahun berbeza sesebuah negeri mencatatkan pelaburan
yang lebih tinggi.
"Pelaburan RM84 bilion yang masuk ke Iskandar Malaysia kini boleh
dilihat dengan mata kasar kerana tidak kurang 40 peratus daripadanya
sudah berada di atas tanah dan ada yang sudahpun siap. Sejak kebelakangan ini, momentumnya semakin kuat untuk Iskandar
Malaysia dengan fenomena terbaru pelaburan bukan sahaja datang dari luar
negara, tetapi juga dalam negara," katanya.
Menurut beliau, pelaburan yang masuk ke negeri ini datang daripada
pelbagai sektor seperti logistik, kreatif, pendidikan dan kesihatan.
"Jadi, tindakan membuat perbandingan dengan Selangor dan Pulau Pinang
adalah tidak wajar kerana ia melibatkan bidang pelaburan yang
berbeza,'' ujarnya.
Abdul Ghani berkata, statistik Lembaga Kemajuan Perindustrian
Malaysia (MIDA) menunjukkan aliran pelaburan terkumpul Malaysia
diterajui oleh Johor sebanyak RM46.7 bilion, Selangor (RM54.4 bilion)
dan Pulau Pinang (RM43.8 bilion) dari 2006 hingga 2011.
"Purata pelaburan tahunan bagi ketiga-tiga negeri berkenaan ialah
Johor RM7.8 bilion, Selangor (RM9.1 bilion) manakala Pulau Pinang pula
RM7.3 bilion. Jumlah pelaburan ke koridor pembangunan tidak harus dibuat
perbandingan secara terus kerana keluasannya yang berbeza.
"Iskandar Malaysia berkeluasan 2,217 kilometer persegi di sebahagian
negeri ini manakala koridor pembangunan Utara melibatkan tiga negeri
iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan utara Perak. Perbandingan
berdasarkan keluasan menunjukkan pelaburan untuk setiap kilometer
persegi Iskandar Malaysia adalah lebih tinggi," katanya.
Kata Abdul Ghani, banyak pelaburan komited di Iskandar Malaysia juga
adalah baru dan bukan daripada pelabur sedia ada dan membayangkan
keyakinan negara luar tentang potensinya sebagai destinasi pelaburan
terbaik di rantau Asia Pasifik dan dunia. Tambahnya, pelaburan di negeri ini turut disumbangkan oleh pelaburan
minyak dan gas di Pengerang dan pembangunan pelancongan di Desaru dan
Mersing.
No comments:
Post a Comment