Tuesday, September 25, 2012

BELIA PERLU SUMBANG TENAGA BANGUNKAN NEGARA


Peredaran zaman yang semakin canggih menuntut belia bergerak proaktif dalam landasan positif bagi menyumbang tenaga dan idea untuk pembangunan negara. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, belia adalah kelompok yang besar iaitu antara 42 hingga 45 peratus daripada penduduk negara ini. Menurutnya, belia memerlukan bimbingan berterusan sebagai modal insan terbilang bakal pelapis pemimpin masa depan.


“Golongan muda adalah pelapis yang bakal memastikan segala yang telah dibangunkan untuk negara ini dapat diteruskan selain mempertahankannya bagi berlaku adil kepada generasi seterusnya.

“Sekiranya belia pada masa ini gagal mengawal emosi dan cepat terpengaruh dengan anasir negatif, sudah tentu kita akan ketandusan pemimpin yang mampu menjadi teraju negara membawa kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya pada perasmian program Ukhuwah Siswa Kolej Komuniti.

Ayub berkata, generasi hari ini dilahirkan dalam dunia yang sudah senang menyebabkan mereka mudah alpa tentang kesusahan orang terdahulu membangunkan apa yang mereka kecap, kini.

Beliau turut mengingatkan belia berkecimpung dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan sebagai pendedahan awal kepada mereka supaya menjadi tulang belakang bagi membantu golongan lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...