Legoland Malaysia adalah projek pembangunan utama Iskandar Malaysia yang
merupakan pemangkin dan berimpak tinggi yang mampu memacu perkembangan
serta meningkatan taraf sosioekonomi negeri Johor, kata Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap semasa majlis pembukaan taman tema itu oleh Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini Sabtu, beliau berkata ia memberi
peluang pekerjaan baru di samping program latihan dan pembangunan tenaga
kerja yang dibiayai oleh kerajaan.
"Alhamdulillah, pada hari ini berkat usaha semua pihak kita berjaya
sampai ke satu tahap lagi. Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang
jika tiada usaha untuk mengubahnya. Hari ini kita boleh melihat
perkembangan pesat di Iskandar Malaysia," kata beliau.
Menurut Najib, apa yang penting adalah usaha pembangunan ini dijalankan
berdasarkan prinsip dan aspirasi untuk menambah dan mencipta nilai serta
menjana perkembangan dan kekayaan.
"Ianya akan disampaikan secara terus kepada penerima berkepentingan di
Johor khususnya dan Malaysia amnya dan seterusnya inisiatif ini akan
dapat dinikmati secara sama rata oleh segenap lapisan masyarakat melalui
kemudahan pendidikan bermutu tinggi, peluang pekerjaan dan perniagaan
yang memberi nilai tambah serta kualiti kehidupan yang lebih selesa.
"Ini adalah asas yang menjadi teras kepada gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan," kata beliau.
Kerajaan juga katanya ingin menyeru Legoland Malaysia agar dapat membuka
peluang-peluang perniagaan untuk menggalakkan penglibatan anak-anak
tempatan dalam kegiatan ekonomi yang berkaitan.
Perdana Menteri turut berkata pembukaan taman tema itu adalah impian
menjadi kenyataan kepada rakyat yang sentiasa mempunyai impian untuk
melawat taman tema bertaraf dunia di luar negara.
"Sekarang kita tidak perlu lagi, kerana hari ini kita telah bawakan taman tema Legoland Malaysia ke Iskandar Malaysia.
Kita bukan sahaja mahu membawa negara kita ke mata dunia, hari ini kita
buktikan, kita juga boleh membawa dunia kepada kita. Hiburan sebegini
diharap dapat mempertingkatkan kualiti hidup dengan aktiviti berhibur
sesama rakan dan keluarga tercinta," katanya.
Pada majlis itu juga, Najib mengumumkan bahawa Legoland Malaysia akan
memberi tiket secara percuma yang bernilai RM500,000 (setiap tiket
berharga RM110) kepada sekolah-sekolah dan rumah-rumah kebajikan di
Johor.
Sejumlah 4,545 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang
dipilih daripada 15 sekolah dan tiga rumah kebajikan akan mendapat
manfaat daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat
berkenaan.
Sultan Ibrahim pada majlis itu menyampaikan tiket percuma kepada tiga
pelajar yang mewakili 15 buah sekolah dan tiga pusat anak-anak yatim
berkenaan.
No comments:
Post a Comment