Datuk Onn Jaafar, merupakan individu yang bertanggungjawab
menyatupadukan orang Melayu dan kini, segala jasa serta pengorbanannya
terus diingati, sehingga lahir sebuah galeri untuk mengenang segala
perjuangannya sebelum ini.
Galeri berkenaan yang terletak di Batu Pahat merupakan satu
penghormatan dari seluruh warga Johor serta orang Melayu seluruh negara,
didirikan di tapak rumahnya ketika beliau menjawat jawatan Pegawai
Daerah Batu Pahat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan, Asiah Md Arif berkata, dengan tertubuhnya Galeri
Dato Onn ini, ia sebagai satu penghormatan kepada perjuangan beliau.
Katanya, dengan kos sebanyak RM600,000 idea dan kerja untuk membina
galeri ini bermula semenjak tahun 2007 lagi dengan usaha sama kerajaan
negeri dan Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta siap sepenuhnya pada 2011.
“Istimewanya rumah ini sehingga dijadikan sebuah galeri ialah di
sinilah Datuk Onn menyatupadukan beberapa pemimpin Melayu bermula dengan
Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ).
“Kemudiannya beliau berjaya mengumpulkan pemimpin Melayu seluruh negara
sehingga tertubuhnya Umno pada 11 Mei 1946, yang bertujuan untuk
menentang gagasan Malayan Union dan kemudiannya memerdekakan negara ini.
“Umno yang ketika itu dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (Pekembar) dianggap sebuah pertubuhan yang sangat ganjil dan
mempunyai masa depan yang begitu baik oleh pihak British sehingga mereka
membubarkan Malayan Union,” katanya.
Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan Galeri Dato Onn, kelmarin
yang turut dihadiri oleh Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan, Wakil Ahli
Parlimen Batu Pahat, Ja’affar Hashim, Pegawai Daerah Batu Pahat Ab Wahab Ridwan dan tetamu istimewa iaitu anak beliau, Datuk Jaafar Onn.
Menurut Asiah lagi, dengan penubuhan galeri berkenaan ia juga sebagai
salah satu tempat yang perlu dikunjungi apabila berkunjung ke Batu
Pahat, kerana memuatkan sejarah penubuhan negara.
“Pelajar di bangku sekolah atau di peringkat institut pengajian tinggi
(IPT) boleh menjadikan galeri ini sebagai tempat rujukan mereka. Di galeri ini termuat beberapa barangan peribadi milik Datuk Onn
selain beberapa dokumen yang dianggap penting dan boleh dijadikan sumber
rujukan oleh pelbagai pihak,” katanya.
No comments:
Post a Comment