![]() |
Ahli Parlimen Bakri dari DAP antara dalang yang menghasut penduduk |
Ada pihak dikesan cuba mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu
pemindahan kubur orang Islam dan jirat masyarakat Cina di Pengerang
sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk di situ. Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor Elias Hasran berkata
hasil pertemuan di kalangan masyarakat Islam dan Cina di situ mendapati
hanya segelintir sahaja yang membantah pemindahan itu.
Beliau berkata sebelum ini terdapat bantahan di kalangan masyarakat
Islam untuk pemindahan kubur kerana menyangka ia akan dipindahkan di
kawasan berpaya sedangkan itu tidak benar.
"Kita akan tambak dahulu kawasan itu dan kerja-kerja meratakan kawasan
tersebut telah dimulakan oleh kontraktor yang dilantik. Kita mengambil
berat saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan
kita mewujudkan kawasan perkuburan yang teratur seperti di Damansara dan
Putrajaya.
"Pada pandangan kita yang bantah hanya segelintir dan hasil dialog yang
diadakan didapati sebahagian besar menyokong kuat projek yang kita
jalankan ini...ada yang menentang kerana terdapat elemen politik cuba
ganggu pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat khas bersama media
berhubung perkembangan semasa projek minyak dan gas Pengerang di sini
hari ini. Taklimat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Johor Petroleum
Development Corporation Berhad (JPDC) Mohd Yazid Jaafar dan Timbalan
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor Azmi Rohani.
Elias berkata isu berhubung pemindahan kira-kira 1,545 kubur orang
Islam untuk memberi laluan kepada projek Kompleks Bersepadu Penapisan
dan Petrokimia (Rapid) dan Terminal Petroleum Air Dalam Bebas Pengerang
bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan baik.
Ia hasil perbincangan penduduk lima kampung terlibat dengan Majlis
Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Johor iaitu
Kampung Teluk Empang, Kampung Sungai Kapal, Kampung Sebong, Kampung Jawa
Laut dan Kampung Jawa Darat, katanya.
Beliau berkata perkuburan baharu terletak kira-kira tiga kilometer dari
kawasan penempatan baharu di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman dan
pemindahan dijangka dilaksanakan dalam tempoh empat bulan mulai awal
Oktober depan.
Sementara itu, katanya proses perbincangan bagi pemindahan 3,700 jirat
Cina ke kawasan seluas 23.4 hektar di Bukit Gelugor dijangka selesai
tidak lama lagi. Elias berkata kerajaan negeri telah melantik konsultan yang mahir dalam
bidang tersebut dan akan dipantau oleh lima persatuan kaum Cina untuk
memastikan ia benar-benar mengikut agama dan budaya masyarakat Cina.
"Kawasan baharu itu di kawasan berbukit dan kerja-kerja pemindahan dijangka dimulakan pada Mac tahun depan. Ini bukan merupakan kali pertama kita memindahkan jirat Cina kerana
sebelum ini pun kita pernah melakukan perkara yang sama untuk pembinaan
Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), jadi saya hairan kenapa kali ini ia
dipolitikkan," katanya.
No comments:
Post a Comment