Tindakan biadab beberapa individu peserta Perhimpunan Janji Bersih yang
memijak gambar pemimpin negara dan menghina Jalur Gemilang ketika
sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka, baru-baru ini, terus
mendapat reaksi pelbagai pihak.
Terbaru, kira-kira 100 ahli Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu
Malaysia (PPPMM) membuat bantahan secara aman kerana kesal dan sedih
berhubung insiden terbabit di hadapan Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, di sini, semalam.
Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, mereka menganggap perbuatan jahat
tersebut menjadi-jadi berpunca daripada ketidaktegasan undang-undang
sehingga mereka boleh diumpamakan sebagai 'kaduk naik junjung'.
“Seperti contoh, kes Namawee berikutan kontroversinya dalam klip video,
Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan dalam ‘Youtube’ tidak pula
dikenakan tindakan dan hanya dimaafkan biarpun telah memalukan negara
kita.
“Maka kami berpendapat, apakah mungkin akibat memberi isyarat yang
salah kepada kes seumpama, maka sesetengah rakyat di negara ini terus
lalai lalu mengambil tindakan mudah dalam banyak perkara sehingga
mengambil kesempatan dalam hal ini,” katanya kepada media, di sini,
semalam.
Dalam pada itu, kumpulan terbabit turut membakar bendera baru yang
dibawa peserta Perhimpunan Janji Bersih itu sebagai menyuarakan
ketidakpuasan hati mereka.
A Rahman berkata, bendera ‘merah putih’ dikibarkan pada perhimpunan
terbabit kerana sebelum ini seorang pemimpin dari parti pembangkang
pernah menyatakan hasrat menukar bendera Malaysia jika mereka dapat
memerintah negara.
“Mereka bukan sekadar mengeluarkan kenyataan itu, bahkan turut menolak
untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kemerdekaan.
Justeru, siapakah di belakang semua itu dalam keghairahan untuk menang
dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti?
“Sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, walaupun yang terlibat
dilihat sebagai kelompok yang kecil dan terdiri daripada pelajar, itu
bermakna sudah ada keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk
mencabar undang-undang dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan terutamanya ibu bapa dan keluarga harus
memberi perhatian serius dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam usaha
menangani anak-anak yang terpelajar tetapi rosak akhlak dan tingkah
lakunya.
No comments:
Post a Comment