Saturday, September 15, 2012

KETUA PENERANGAN UMNO KEMBALI KE RAHMATULLAH


Ketua Penerangan Umno Bahagian Pasir Gudang, Mohamad Rahim Md Salleh, 52, meninggal dunia di rumahnya di Taman Molek, di sini, awal pagi semalam. Allahyarham yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi di pangkuan isterinya, Suchiati Adzim, 49, dipercayai akibat tekanan darah tinggi sebaik sebaik saja selesai menunaikan solat Isyak di kediamannya selepas pulang dari satu majlis rasmi.


Anak sulungnya, Farhana Wahida, 25, berkata, pemergian Allahyarham ayahnya sangat mengejutkan kerana tidak mengalami sebarang penyakit kecuali gaut. Menurutnya, walaupun Allahyarham ayahnya sibuk dengan pelbagai program kemasyarakatan, tetapi beliau seorang yang penyayang dan mengambil berat terhadap keluarga.

“Kami sedih, tapi redha dengan pemergian ayah walaupun agak sukar untuk menerima bahawa ayah telah tiada kerana secara tiba-tiba ayah pergi meninggalkan kami. Setahu saya ayah tak ada sebarang penyakit, cuma kakinya sahaja akan bengkak kalau tersalah makan kerana gaut,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Turut hadir menziarahi ialah Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad. Mohamed Khaled berkata, kehilangan Mohamad Rahim amat dirasai oleh semua ahli Umno dan Barisan Nasional Bahagian Pasir Gudang kerana Allahyarham amat berdedikasi dalam tugasnya.

“Allahyarham seorang yang kuat bekerja dan turut memberi sumbangan yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat di kawasan ini. Pemergian Allahyarham sememangnya akan dirasai oleh Umno Pasir Gudang, lebih-lebih lagi ketika kita sedang membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi,” katanya.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan lima anak, kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, di sini, selepas solat Zohor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...