Rakyat di negara ini diingatkan tidak mudah terpengaruh dengan
hasutan pihak-pihak tertentu yang hanya mahu merosakkan keamanan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
berkata, tindakan segelintir pihak yang mencemari malam sambutan
kemerdekaan amat memalukan.
“Tindakan segelintir pihak yang berhasrat untuk menukar Jalur Gemilang
dan memijak gambar pemimpin negara adalah bukti sesetengah rakyat negara
ini mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab. Sepatutnya sambutan Hari Kemerdekaan disambut dengan semangat cintakan
negara, bukan bersikap biadab terhadap tanah air mereka sendiri,”
katanya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, mereka yang sengaja
mencetuskan kekecohan itu sebenarnya tidak memahami asas pembinaan
negara yang dirangka berasaskan semangat perpaduan.
“Mereka sebenarnya terikut-ikut dengan budaya di luar negara tanpa
mengambil kira perasaan rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian,”
katanya.
Katanya, golongan seperti itu juga tidak menghargai nilai keamanan dan
ingin melihat negara ini berada dalam keadaan kacau bilau sebagaimana
yang berlaku di Libya, Mesir, Syria mahupun Iraq.
Sehubungan itu, beliau meminta JPNIN terus memainkan peranannya
melaksanakan program-program bagi meningkatkan perpaduan di negara ini
melalui aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.
“Kejadian yang berlaku di Dataran Merdeka baru-baru ini boleh
menimbulkan tanggapan negatif oleh pihak luar yang selama ini
menyifatkan Malaysia sebuah negara yang aman dan rakyatnya hidup dalam
suasana toleransi dan saling hormat menghormati,” katanya
No comments:
Post a Comment