Saturday, September 15, 2012

SEBAR FITNAH GUNA GAMBAR TPM


Pemuda Umno Johor yakin ada pihak berkepentingan cuba melakukan provokasi dengan penyebaran risalah yang turut memaparkan  gambar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketuanya, Datuk Zulkurnain Kamisan yakin perbuatan itu bertujuan untuk melaga-lagakan pemimpin negara, sekali gus memecahbelahkan perpaduan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).


Katanya, Pemuda Umno Johor sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbuatan seperti yang dinyatakan itu tidak mungkin dilakukan oleh Umno dan BN negeri ini.

“Saya yakin isu yang dibangkitkan itu tidak akan melemahkan Umno dan BN yang akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti,” katanya kepada media, semalam

Terdahulu, beberapa laman blog menyatakan risalah berkenaan dinaikkan di beberapa pusat beli-belah di negeri ini dan turut diedarkan di Pulau Pinang. Sementara itu di Johor Bahru, Pemuda Umno bahagian berkenaan bersama Pemuda Umno Bahagian Pulai dan Gelang Patah serta 12 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah berkenaan.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamed berkata, pihaknya percaya kenyataan risalah tersebut adalah fitnah dan tidak benar, selain mempunyai motif jahat bertujuan menjejaskan hubungan baik ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Kami khuatir jika risalah ini tidak disekat, ia akan merebak hingga menjejaskan hubungan baik sesama pemimpin tertinggi negara, ahli parti BN dan Umno hingga menjejaskan kredibiliti TPM kita sebagai Timbalan Presiden Umno serta imej nama baik beliau sendiri.

“Oleh itu, kami meminta pihak polis mengambil tindakan segera menyekat pengedaran risalah ini dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dalam mencetak, mengedar dan membuat risalah ini,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berharap pihak yang terlibat dalam perkara ini dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan yang sewajarnya kerana dipercayai mempunyai tujuan tertentu dan cuba menimbulkan huru-hara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...