Felda menyangkal tanggapan sesetengah pihak terutamanya pembangkang
bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keutamaan
kepada warganya berbanding masyarakat lain.
Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad berkata, Felda telah mengambil tiga
langkah untuk berkongsi hasil yang diperoleh bagi membantu rakyat dan
juga mereka yang memerlukan.
“Pertamanya, kami wujudkan Yayasan Kasih Felda dan menerusinya kami
mencari seberapa banyak rumah yang perlu dibaiki, dan ia dilaksanakan di
rumah orang kampung berhampiran kawasan Felda di negara ini.
“Untuk tahun ini sahaja kami telah membelanjakan sebanyak RM20 juta
untuk tujuan ini, dan kami anggarkan setiap rumah akan menerima sebanyak
RM5,000 untuk kerja baik pulih berkenaan,” katanya.
Isa yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang berkata, langkah kedua ialah
membiayai sebahagian pinjaman pengajian anak Felda yang berada di
institusi pengajian tinggi (IPT).
"Ini akan kami laksanakan setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri.Melalui pinjaman yang diuruskan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), Felda akan menanggung separuh daripadanya dan
kini dalam proses akhir perbincangan dengan Kementerian Pengajian
Tinggi," katanya.
Isa berkata, dengan pembiayaan separuh pinjaman ini, ia membuka ruang
kepada yang bukan anak peneroka untuk menikmati sama pinjaman PTPTN
berkenaan, dan mekanismenya akan mengurangkan beban kerajaan.
“Sebagai contoh tahun ini, seramai 1,300 anak peneroka melanjutkan
pengajian di IPT tempatan. Dengan adanya pinjaman Felda, ramai lagi akan
menerima manfaatnya," katanya.
Langkah ketiga pula, katanya, Felda akan menghantar anak peneroka yang
tidak mendapat tempat di IPT untuk melanjutkan pengajian dalam bidang
kemahiran. Oleh itu, Isa menegaskan agar rakyat Malaysia tidak keliru dan menerima fitnah pembangkang terhadap Felda tanpa usul periksa.
"Macam-macam yang mereka (pembangkang) kata semata-mata untuk meraih sokongan daripada warga Felda. Felda sehingga kini merupakan kubu kuat Barisan Nasional, sebab itulah
mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menghakis kepercayaan warga
Felda kepada kerajaan," katanya.
Jelasnya, pihak Felda juga tidak akan berdiam diri dengan sebarang
pembohongan dan hanya tunggu masa untuk mengambil tindakan terhadap
fitnah yang telah dikeluarkan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment